Projek Runding Terus: Menteri Kewangan buat tiga penipuan besar




Pendedahan 101 projek runding terus bernilai RM6.61 bilion yang dibuat oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Aziz merupakan satu penipuan besar kata Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng.

Malah, beliau yang merupakan bekas Menteri Kewangan mendakwa, terdapat tiga penipuan besar dalam pendedahan tersebut.

Penipuan pertama

Guan Eng mendakwa, kebanyakan projek runding terus bukan inisiatif Pakatan Harapan (PH), tetapi diwarisi dari pentadbiran Barisan Nasional (BN).

"Bezanya, PH telah meneruskan projek-projek ini dengan pemotongan kos yang menghasilkan penjimatan yang ketara.

"Apa yang mengejutkan, rupa-rupanya projek runding terus yang didedahkan bukanlah RM6.61 bilion seperti diwar-warkan tapi sebenarnya hanya RM352 juta. Baki 6.258 bilion ialah projek BN yang terpaksa diteruskan oleh PH.

"Projek runding terus itu juga hanya merupakan 1.38 peratus dari nilai keseluruhan perolehan kerajaan dari 2018 hingga 2019.

"Sekiranya projek runding terus benar-benar dibawah PH diambil kira iaitu RM352 juta sahaja, ia bukanlah 1.38 peratus tapi 0.07 peratus dari nilai keseluruhan perolehan kerajaan sebanyak 4.377 bilion.

"Dalam kata lain, 99.93% daripada jumlah keseluruhan perolehan telah ditawarkan melalui kaedah tender dan bukan rundingan terus.

Jelas sekali adalah satu penipuan besar oleh Menteri Kewangan mengatakan PH telah meluluskan RM6.61 bilion projek runding terus," katanya dalam sidang media di Parlimen.

Penipuan kedua

Guan Eng kemudian menyebut bahawa penipuan kedua ialah meletakkan projek BN sebanyak RM6.258 juta sebagai projek runding terus PH yang hanya RM352 juta sahaja untuk menjadi RM6.61 bilion.

Katanya, ia termasuk lima projek bernilai RM4.48 bilion yang telah ditawarkan oleh kerajaan BN sebelum PH menjadi kerajaan.

"Projek yang paling mengejutkan ialah Projek Menaiktaraf Kemudahan Infrastruktur Landasan Berkembar Elektrik Di Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2). Sebenarnya projek ini telah ditawarkan kepada syarikat tersebut dengan harga RM5.265 bilion oleh kerajaan BN secara runding terus.

"Setelah mengambil alih kerajaan, PH mendapati harga kontrak tersebut adalah terlampau tinggi dan pihak Kabinet telah bersetuju untuk membatalkan kontrak tersebut.

"Akan tetapi pihak syarikat kontraktor, sebuah syarikat usahasama antara Dhaya Maju dengan Lembaga Tabung Ankatan Tentera (LTAT) telah merayu kepada pihak kerajaan.

"Setelah berunding, kerajaan PH bersetuju untuk meneruskan projek tersebut dengan harga kontrak yang jauh lebih rendah, iaitu RM4.475 bilion.

"Penyelesaian ini juga akan mengelakkan sebarang tindakan mahkamah antara syarikat dengan kerajaan, dan mengurangkan sebarang kelewatan ke atas projek jika projek tersebut ditender semula. Oleh itu, Menteri Kewangan sepatutnya memuji kerajaan PH kerana kami telah berjaya menjimatkan wang rakyat sebanyak RM790 juta," katanya.

Penipuan ketiga

Guan Eng beranggapan bahawa Menteri Kewangan cuba melenyapkan fakta bahawa projek runding terus turut melibatkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri-menteri Perikatan Nasional (PN) yang dahulunya berkhidmat sebagai menteri dalam kerajaan PH.

"Menteri Kewangan cuba menutup hakikat bahawa Perdana Menteri dan Menteri-Menteri pengkhianat PH, yang kini menjadi Menteri PN, juga ada meminta projek runding terus.

"Mereka semua telah cuba nafikan di Parlimen dan dalam kenyataan akhbar. Pembohongan menteri-menteri pengkhianat dibongkar dengan pendedahan senarai projek semalam yang menunjukkan bahawa kementerian yang disandang sebelum ini.

1- Kementerian Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) meminta RM 517.7 juta;
2- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan(Zuraida Kamaruddin) meminta RM 170.8 juta;
3- Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (Azmin Ali) meminta RM 1.2 juta; dan
4- Kementerian Pembangunan Luar Bandar(Datuk Seri Rina binti Mohd Harun) meminta sebanyak RM 7.36 juta.

"Sama ada menteri-menteri pengkhianat ini bohong, tidur dalam Kabinet atau terlalu sibuk mengaturkan Langkah Sheraton, hanya mereka yang tahu," katanya.

Guan Eng tetap menggesa Menteri Kewangan supaya mendedahkan projek runding terus yang dibuat oleh BN serta yang diluluskan dalam kerajaan PN ketika ini.

"Menteri Kewangan juga harus buktikan semua projek runding terus yang diluluskan oleh beliau adalah teratur dan berkepentingan awam. Biar rakyat buat penilaian sendiri, kerajaan mana yang mendokong prinsip akauntabiliti dan ketelusan.

"Jangan ada double-standard atau “antara dua darjat” seperti Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang hanya hendak kaji projek runding terus PH, tetapi tidak kepada projek runding terus BN atau PN.

"Biar fakta bicara dengan sendirinya. Berani kerana benar. Amar makruf nahi mungkar." katanya.


No comments: