Lebih baik Adham Baba berdiam atau undur diri

Lebih baik Adham Baba berdiam atau undur diri



Tokoh wartawan veteran, Datuk Abdul Kadir Jasin menasihatkan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba untuk tidak lagi memberi alasan ekoran salah menyebut jumlah negara di dunia.
Menurutnya, umum mengetahui sifat doktor perubatan sebagai individu yang teliti dalam berfikir sebelum bercakap.
“Salah sebut pula! Minta-minta lepas ini jangan salah bagi ubat pula. Yang kita tahu, doktor perubatan ni cakap berfikir dan sebutan jelas.
“Kalau tak jelas pesakit dalam bahaya. Nak suruh minum air suam, disebut air garam. Bahaya kalau ada darah tinggi,” sindirnya di Facebook.
Bekas Penasihat Komunikasi dan Media kepada Tun Dr Mahathir Mohamad itu juga menambah Adham hanya akan memalukan kerajaan jika terus memberi alasan.
“Cukup-cukuplah bagi alasan. Lagi baik berdiam diri atau undur diri. Jangan kasi malu Amirulmukminin,” sinisnya lagi.
Adham yang juga Ketua Penerangan Umno Negeri Johor ditertawakan orang ramai apabila mendabik dada mendakwa terdapat “500 negara” semasa panggilan video secara langsung dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Insiden itu berlaku ketika Ahli Parlimen Tenggara itu memberitahu Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai situasi Covid-19, yang dimuat naik di Facebook.
Bulan lalu, Adham dalam program bual bicara secara langsung di TV1 mengenai Covid-19 juga dikecam dan dipersenda apabila menyarankan agar orang ramai minum air suam sebagai salah satu cara untuk mencegah jangkitan Covid-19.
Ekoran itu, dia dilihat tidak lagi tampil dalam sidang media harian Kementerian Kesihatan sebaliknya digantikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Adham antara 14 pemimpin Umno yang dilantik pada 9 Mac lalu sebagai Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kabinet yang dianggap ‘kerajaan pintu belakang’ atau ‘tebuk atap’.


No comments: