MEMBICARAKAN TENTANG BUKU DAN KESAN DARIPADA EKONOMI


Anwar Ibrahim: Ulasan Buku "The Third Pillar" Oleh Raghuram Rajan



Ulasan Buku 'The Third Pillar' oleh Raghuram Rajan (Penguin Random House, 2019) Pandemik Covid-19 kini telah mengancam segala andaian dan pendapat terkait dunia yang serba rencam dan saling bergantung ini. Sebagai contoh, meski sejumlah besar wang dan tenaga diperuntukkan untuk membangun sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan juga tenaga hijau, bahan api fosil kekal sebagai sumber tenaga yang ampuh bagi sebahagian besar dunia. Negara-negara yang bergantung harap kepada bahan bakar fosil sebagai pendanaan, pertumbuhan dan pembangunan negara berasa selamat untuk beberapa dasawarsa yang mendatang. Namun, perangkaan yang sebegitu ternyata lesu dan hancur lebur tatkala serangan Covid-19. Dampak kejatuhan harga minyak dunia tidak hanya mengesankan negara-negara yang bersumberkan petrol dan gas, malah segala aktiviti eksplorasi dan pengolahan bahan mentah turut terganggu. Jutaan pekerja dan keluarga, termasuk para pekerja asing akan terlorong kepada pengangguran, ketidakamanan sosial dan perpindahan besar-besaran. Di Amerika Syarikat hanya dalam kira-kira empat minggu, 22 juta warga Amerika telah mengajukan pengangguran, sekaligus menghilangkan satu dasawarsa jumlah kenaikan pengambilan pekerjaan. Ini ternyata kadar pengangguran tertinggi di Amerika sejak zaman meleset (Great Depression) hampir 100 tahun yang lalu. Perkembangan ini semestinya akan membenam ramai warga dan keluarga ke dalam lembah kemiskinan, hilang tempat tinggal, bankrapsi, dan mungkin membawa kepada pelbagai gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah dan alkohol, keganasan rumahtangga, penderaan kanak-kanak, penyakit mental dan sebagainya. Dan ini belum mengambilkira gergasi-gergasi perniagaan yang bergantung kepada permintaan berterusan oleh Amerika demi kelangsungan mereka. Minggu ini saya menelaah semula buku berjudul ‘The Third Pillar’ karya Raghuram Rajan. Beliau adalah mantan ketua Royal Bank of India dan juga Professor Ekonomi di University of Chicago. Buku ini diterbitkan pada tahun 2019 sebelum kemelut Covid-19 bermula. Buku ini menggariskan tentang permasalahan kapitalisme yang tidak terkekang dan juga menganjurkan beberapa penyelesaian dan jalan keluar tanpa mengganggugugat segala yang ada saat ini. Membacanya tatkala perkembangan Covid-19 pada hari ini ternyata mengujakan. Intipati dari penghujahannya adalah bahawa di era globalisasi hari ini, pasaran dan kekuasaan politik sudah menjadi begitu ampuh dengan mengorbankan tonggak ketiga tata sosial yakni masyarakat. Dengan membiarkan masyarakat menjadi longlai dan lesu, maklumat penting yang hanya mampu diajukan oleh mereka telah hilang. Maklumat mustahak yang dimaksudkan adalah sifat kemanusiaan dan sikap belas. Tanpanya demokrasi dan kapitalisme hanya akan menjadi barah, ganas dan menghancurkan. Syarikat-syarikat gergasi dan tokoh-tokoh birokrat asing tidak akan memahami kesan perjanjian perdagangan ke atas sesebuah bandar kecil atau desa secara nyata. Masyarakat-masyarakat tersebut mampu mengatasi kesusahan hidup harian dengan bergantung pada perhubungan, jaringan tidak rasmi. Namun, kepercayaan dan sikap belas telah lenyap. Di sebaliknya adalah indvidu-individu tidak dapat menandingi kekuatan dalam pengemudian ekonomi global, dan sebahagian besarnya hanya menguntungkan para cukong dan kelas elit. Pemerkasaan masyarakat adalah sesuatu yang dapat mengimbangkan, malah membalikkan sebahagian unsur-unsur negatif terkait kapitalisme hari ini. Menurut Rajan, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat dalam menerapkan kebijakan di sektor awam dan swasta bagi memupuk kebangkitan masyarakat. Pembangunan masyarakat tidak hanya terhad kepada khidmat sosial. Malah, masyarakat yang sihat dan berdaya adalah kunci kepada tata sosial yang stabil dan berukun. Kemelut Covid-19 telah sedikit sebanyak memberi pencerahan kepada kekurangan yang wujud dalam infrastruktur masyarakat. Sebagai contoh, seseorang yang mati di rumah tanpa diketahui oleh jiran tetangga selama beberapa hari. Krisis ini juga menonjolkan semangat kemanusiaan yang jitu dalam mendukung dan membantu mereka yang memerlukan. Di seluruh dunia kita dapat menyaksikan kerajaan-kerajaan yang bertindak secara efektif dan tidak efektif dalam mendepani kemelut ini. Kita juga dapat melihat negara-negara yang masih terteguh nilai kemasyarakatannya seperti sikap belas dan ambil berat antara satu sama lain termasuk kepercayaan dan kreativiti. Ternyata mereka mampu untuk berhadapan dengan kekacauan dan ketidaktentuan ini dengan lebih baik. Apa yang penting, The Third Pillar memberikan hujah terperinci mengapa dunia perlu mencari titik keseimbangan baru antara negara, sektor swasta dan individu agar semua pihak diberi peluang yang saksama untuk kemakmuran dan martabat diri. ANWAR IBRAHIM


No comments: