Rakyat kecewa isu perkauman halang pelaburan asing
Tahun 2019 telah berlalu namun rata-rata rakyat Malaysia kecewa dengan ahli politik pembangkang yang banyak memainkan isu perkauman sehingga mensabotaj ekonomi negara.
Mereka menyalahkan Umno dan Pas yang sering mendendangkan isu-isu Melayu sehingga iklim pelaburan di Malaysia menjadi kurang menarik dan tidak stabil kepada pelabur asing.
“Tahun baru sudah tiba tetapi masyarakat Melayu terutamanya ahli-ahli politik dan pemimpin Melayu masih kuat membangkitkan isu-isu perkauman.
“Kalau ini tidak dihentikan dengan serta-merta maka Malaysia tidak akan mampu bersaing lagi di atas pentas antarabangsa. Sekarang pun sudah ada desas-desus pelabur asing tidak berminat untuk melaburkan modal mereka di sini kerana situasi politik tidak stabil akibat dari isu-isu perkauman yang juga sering dibangkitkan oleh NGO-NGO (badan bukan-kerajaan) Melayu,” kata Gopalsamy, berusia 65 tahun, pemandu teksi di Kuala Lumpur.
Beliau turut berasa kecewa dengan Kerajaan Pakatan Harapan kurang berusaha menangani masalah sentimen perkauman di Malaysia.
“Kini sudah kurang pelabur asing dari negara Barat yang datang ke sini. Sepupu saya yang juga memandu teksi tetapi di kawasan pusat bandaraya KL memberitahu sekarang bukan sahaja pelabur asing malah pelancong dari negara Mat Salleh juga kurang datang ke sini. Ini bukan satu berita yang baik.
“Saudara-mara dan rakan yang melancong ke negara-negara lain di ASEAN seperti Filipina, Indonesia dan Vietnam ada berkongsi pengalaman mereka dan berkata negara-negara tersebut sudah mara ke depan dengan rakyat dan pemimpin mereka yang rajin berusaha demi kebaikan semua.
“Tetapi di Malaysia, para pemimpinnya sibuk berpolitik dan masyarakat Melayu pula asyik berkata mereka sudah kehilangan hak mereka iaitu satu perkara yang terbukti langsung tidak benar. Saya sedih dengan situasi sebegini di Malaysia kerana nampaknya negara kita tidak mampu berganjak ke depan,” katanya lagi.
Seorang pemilik kedai barang runcit di kawasan Kepong Baru, Ah Meng yang berusia 60 tahun berkata sepatutnya dibawah Kerajaan PH, negara dan rakyat harus bekerjasama dalam wawasan Malaysia Baru.
“Tetapi nampaknya ideologi Malaysia Baru ini adalah mimpi di waktu siang sahaja. Sudah hancurkah ideologi Malaysia Baru ini?
“Harapan saya dan juga ramai orang yang saya kenali ialah Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri pada bulan Mei 2020 dan membawa Malaysia ke zaman kegemilangan semula.
“Pada ketika ini, sudah tiada ‘mood’ atau perasaan yang ceria di kalangan orang ramai,” tambah Ah Meng.