Rakyat jimat hampir RM50 juta menerusi pengenalan pas My100



Pas perjalanan tanpa had My100, My50 dan Pas Mutiara yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan menerusi Prasarana Malaysia Bhd membawa kesan yang positif kepada rakyat. 
Kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke, pemegang pas My100 telah membuat penjimatan sebanyak RM47.38 juta pada tahun lalu. 
Katanya, jumlah tambang yang dibayar pengguna pas berkenaan adalah lebih rendah iaitu sebanyak RM75.76 juta berbanding harga tambang sebenar RM123.14 juta.
Tambah Anthony, pas My100 mendapat sambutan menggalakkan apabila terdapat 110,00 pengguna bulanan aktif dicatatkan pada tahun lalu. 
Kerajaan, katanya, menyasarkan pengguna pas My100 dapat menikmati penjimatan sekitar RM100 juta tahun ini.
Selain itu, kerajaan PH turut memperkenalkan pas perjalanan tanpa had My50 bagi perkhidmatan bas. Inisiatif ini mencatatkan sebanyak 1.7 transaksi pada tahun lalu dengan penjimatan sebanyak RM786,000. 
Sementara Pas Mutiara yang dilaksanakan di Pulau Pinang pula mencatatkan 455,000 transaksi pada 2019 dengan pengguna menikmati penjimatan sebanyak RM343,000. 
Anthony yang juga Setiausaha Organisasi DAP berkata, kementeriannya bersama Prasarana akan mempergiatkan lagi usaha untuk menggalakkan lebih ramai menggunakan pas perjalanan tanpa had. – Roketkini.com