Shahbudin Hussein.
Kandungan manifesto PH berkaitan kedudukan Perdana Menteri adalah seperti berikut - “Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutama Menteri Kewangan”.
Meskipun ayat tersebut adalah jelas dan mudah difahami, namun masih ada yang sanggup mengatakan kandungan itu bermaksud PM hanya diharamkan memegang jawatan Menteri Kewangan saja, bukan portfolio yang lain.
Kononnya, memegang jawatan menteri lain, termasuk memangku Menteri Pendidikan tidak termasuk dalam maksud yang disebut dalam Buku Harapan itu.
Agaknya kena diterjemahkan ke dalam bahasa lain seperti Urdu misalnya, barulah mereka boleh faham maksud ayat manifesto itu.
Yang lebih dahsyat, barangkali kerana taksub berlebihan kepada Mahathir, ada pula yang tergamak mengatakan larangan memegang jawatan menteri lain sebenarnya tiada dalam manifesto PH.
Adoiiiii......
Adakah mereka lupa bahawa Mahathir sendiri pernah mengakui bahawa PM memang tidak boleh memegang jawatan menteri lain berdasarkan manifesto yang telah dipersetujui?
Itu sebabnya, setelah melantik dirinya sebagai Menteri Pendidikan ketika awal pembetukan kerajaan dahulu, Mahathir kemudian menarik balik perlantikan terhadap dirinya setelah menyedari adanya janji tersebut.
Jika tidak, untuk apa Mahathir menarik balik perlantikan dirinya?
Cuma sekarang, adakah Mahathir sudah lupa atau sengaja buat-buat tentang janji manifesto itu?