Susulan tampilnya pihak tertentu, khususnya pengampu Perdana Menteri yang menggesa agar Anwar Ibrahim juga perlu menjalani ujian poligraf berikutan penuduhnya yang mendakwa diganggu secara seksual, Mohamad Yusoff Rawther telah berbuat demikian, mereka seolah-olah lupa dengan kes yang lebih penting daripada itu.
Ia tidak lain adalah kes “video Haziq” yang dikaitkan dengan Azmin Ali yang kini sudah pun berlarutan lebih enam bulan tanpa ketahuan sama ada akan dilakukan pendakwaan atau disenyapkan begitu saja.
Dalam kes tersebut, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mendakwa pasangannya melakukan hubungan sejenis sebagaimana tersebar dalam video itu adalah Azmin, beliau bukan saja sudah disiasat polis, malah difahamkan turut menjalani ujian poligraf.
Ia adalah bagi menentukan kebenaran atau kesahihan dakwaan yang dibuatnya terhadap Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.
Bagaimanapun, ujian poligraf terhadap Haziq itu tidak didedahkan secara terbuka sepertimana hebohnya perihal mengenai Yusoff yang sedia melakukan ujian yang sama.
Tetapi, mereka yang rapat dengan Haziq memaklumkan ujian itu memang dilakukan keatasnya dan hasilnya difahamkan cukup positif.
Selain itu, seorang lagi Haziq iaitu Mohd Haziq Hassan Mohd Ayub yang dikaitkan dengan syarikat pelancongan yang menyaman Azmin kerana menuntut hutang sebanyak RM328,901 dan telah ditahan polis selama lima hari sebelum ini, turut sama telah menjalani ujian poligraf dengan pihak PDRM.
Haziq Hassan dikatakan ditahan polis kerana siasatan berhubung peranannya dalam menguruskan tiket perjalanan dan penginapan untuk Azmin.
Semasa ditahan dan dalam proses siasatan itu, Haziq Hassan difahamkan turut menjalani ujian poligraf untuk menentukan kebenaran dalam kata-katanya.
Hasil ujian terhadapnya juga dikatakan positif pada kadar yang tinggi.
Sebagai makluman, YHA Travel & Tours yang sebelum ini menyaman Azmin kerana menuntut tunggakan hutang RM328,901 adalah kepunyaan ibu bapa Haziq Hassan dan syarikat itu telah mengendalikan urusan tiket dan perjalanan untuk Azmin sejak lebih 20 tahun yang lalu.
Dalam saman balas terhadap YHA Travel & Tours yang menuntut hutang daripadanya, Azmin mendakwa ia mempunyai kaitan dengan konspirasi “video Haziq” yang mengaitkan dirinya.
Tuntutan balas Azmin itu juga menyatakan bahawa ibu bapa Hassan yang merupakan pemilik YHA Travel & Tours mempunyai "hubungan yang sangat rapat" dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Mereka yang biasa dengan syarikat itu memberitahu, YHA Travel & Tours bukan saja rapat dengan Anwar, tetapi juga dengan Azmin dan hubungan perniagaan mereka telah bermula sejak lama sebelum ini.
Diberitakan hubungan itu bermula sejak Anwar memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, manakala Azmin ketika itu adalah Setiausaha Sulit kepada Anwar.
Apa yang penting di sini, jika Yusoff sudah menjalani ujian poligraf dan daripadanya lalu timbul desakan agar Anwar perlu menjalani ujian yang sama, tetapi dalam kes Azmin, dua Haziq iaitu Haziq Abdul Aziz dan Haziq Hassan telah pun diuji dengan mesin poligraf juga.
Maka, kenapa tiada yang tampil mendesak agar Azmin lebih perlu berani menjalani ujian poligraf?
Agak-agak, jika Azmin menjalani ujian poligraf berhubung “video Haziq” itu, bagaimanakah degupan jantung, denyut nadi dan peluh memercik di tubuhnya? (Shahbudin Husin 18/12/2019)