KL SUMMIT 2019 GAGAL?



Sejak awal lagi ramai yang tidak faham dengan langkah Malaysia menganjurkan persidangan negara-negara Islam atau KL Summit 2019 yang bermula hari ini.

Beberapa faktor melingkari ketidakfahaman ramai mengenai penganjuran sidang itu:-

Pertama, mengapakah sidang itu mengecualikan Arab Saudi yang dikenali sebagai tunjang belakang OIC atau Pertubuhan Negara-Negara Islam dengan keanggotaan 57 negara di seluruh dunia?

Apakah Tun Mahathir Mohamad mahu menonjolkan dirinya sebagai juara baru negara-negara Islam?

Lantaran itu, selain Arab Saudi yang tentu mengecamnya, OIC turut menolak penganjuran KL Summit 2019 ini, bahkan menyifatkannya sebagai langkah memecah-belahkan umat Islam.

Selain itu, dipercayai disebabkan tekanan Arab Saudi jugalah menyebabkan Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan dan Presiden Indonesia, Jokowi tidak hadir sidang ini.

Jokowi sepatutnya diwakili oleh Naib Presiden Ma’aruf Amin, tetapi beliau juga memutuskan tidak hadir bersandarkan nasihat doktor yang menyimpulkan beliau sebagai kelelahan kerana melalui rangkaian tugas dalam negara yang sangat padat.

Maka, apa maknanya KL Summit 2019 jika Indonesia sebagai negara umat Islam terbesar di dunia pun enggan turut serta?

Kedua, daripada 52 ketua negara yang dijemput, hanya tiga saja yang hadir iaitu Presiden Turki, Reccep Tayyib Erdogan, Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani dan Presiden Iran, Hassan Rouhani.

Apa signifikannya KL Summit kepada umat Islam seluruh dunia dengan hanya tiga ketua negara saja yang menghadirinya?

Qatar dan Iran khususnya yang memang bermusuh dengan Arab Saudi, kehadiran mereka lebih untuk menunjuk-nunjuk taring mereka kepada Arab Saudi dan seolah-olah

mereka diberi keutamaan oleh Malaysia.

Tetapi, tidakkah kesan jangka panjang hubungan dengan Arab Saudi akan dipikul oleh Malaysia selepas ini?

Erdogan, walaupun hadir sidang ini, tetapi malam semalam beliau telah menganjurkan jamuan makan malam di Kedutaan Turki bersama Anwar Ibrahim dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan rakan karibnya sejak sekian lama.

Ada yang mengatakan datangnya Erdogan bukan sangat mahu menghadiri KL Summit, tetapi lebih mengambil kesempatan untuk bertemu dengan bakal PM8 itu.

Ketiga, pemilihan wakil Malaysia yang berucap dalam sidang meja bulat dan pleno KL Summit iaitu Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin dan Mukhriz Mahathir juga menimbulkan tanda tanya ramai.

Apa yang Azmin, Zuraida dan Mukhriz faham tentang gerakan Islam dan apa sejarah penglibatan mereka dalam agenda Islam selama ini?

Apakah Tun Mahathir lebih bermotif untuk menonjolkan mereka di peringkat antarabangsa dengan manfaat yang mahu diraih ialah keuntungan politik di dalam negara?

Namun, dengan gagalnya KL Summit 2019 ini sejak awal lagi, bukan saja dari segi penerimaan negara dan umat Islam di seluruh dunia, bahkan juga pada tanggapan rakyat Malaysia sendiri, apa yang Tun Mahathir dapat sebenarnya daripada perbelanjaan besar menganjurkan sidang ini?

(ShahbudinHusin 19/12/2019).


No comments:

(function() { var d = document, w = window; w

MALU APA BOSSKU : Najib 'tok dalang' SRC, Darurat ada udang sebalik batu, SKMM perlu tegas...