PM DAN MENTERI EKONOMI LENA?

Peluang pekerjaan semakin tenat

MGF28072019_PC-PEMUDA-GAGASAN-SEJAHTERA40



KUALA LUMPUR – Selepas memerintah negara hampir 20 bulan, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa bukan sahaja tidak mampu menunaikan janji-janji manifesto tetapi turut menyebabkan anak muda tertipu dengan janji sejuta peluang pekerjaan dengan gaji minimum RM2,500,
Ia kerana, pada hari ini, hampir 80 peratus graduan tempatan menganggur aktif mencari peluang pekerjaan.
Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, ini bermakna terdapat seramai 4 juta siswazah yang menganggur pada hari ini dan tidak mendapat peluang pekerjaan dek keadaan ekonomi negara yang tenat.
Sedangkan, berdasarkan statistik, Malaysia melahirkan sejumlah 4.96 juta siswazah pada tahun lepas.
Menurutnya, harapan anak muda untuk mendapatkan peluang pekerjaan hancur berkecai.
“Kerajaan Pakatan Harapan bukan sahaja gagal mewujudkan peluang pekerjaan, malah gagal mengekalkan pekerjaan sedia ada kerana kegagalan mengurus ekonomi negara.
“Peluang pekerjaan di negara kita semakin tenat apabila kerajaan mengumumkan untuk mengurangkan jumlah penjawat awam sebanyak 5% sehingga tahun 2021,” katanya dalam satu kenyataan.
Shahir berkata, pengumuman malang ini semestinya menghancurkan harapan rakyat Malaysia yang mengundi PH pada PRU-14 lalu.
“Persoalannya di sini, bagaimanakah pengurangan sebanyak 5% atau 85,000 pekerjaan sektor awam ini dapat menguatkan ekonomi negara apabila peluang pekerjaan di sektor swasta pun makin berkurang?
“Rakyat tidak mempunyai pilihan di sektor swasta atau perkhidmatan awam dan pengangguran di dalam negara akan
meningkat dengan mendadak,” ujarnya.
Beliau berkata, di saat mengurangkan pekerjaan sedia ada di kementerian dan agensi kerajaan tetapi pelbagai lantikan politik terus dibuat.
Berikutan itu, beliau menggesa kerajaan memperhalusi keputusan pengurangan kakitangan awam kerana rakyat sebenarnya makin dihimpit kegawatan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup.
Tegasnya, kerajaan perlu mengurangkan lantikan politik, sebaliknya memberi tanggungjawab itu kepada penjawat awam yang berwibawa melakukan tugas mereka.
“Harus diingat, penjawat awam merupakan tunjang kepada pentadbiran negara. Ahli politik datang dan pergi, tetapi mereka tetap komited menguruskan pentadbiran kerajaan,” kata Shahir. 

No comments: