Peralihan kuasa: Rakyat sudah buat keputusan PRU 14
Pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) yang terbabit komplot untuk menubuhkan kerajaan baharu tanpa DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dianggap pengkhianat yang mensabotaj mandat rakyat.
Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen berkata, tidak wajar untuk mana-mana pemimpin membelakangi HARAPAN termasuk dengan menggagalkan perjanjian melantik Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengantikan Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohammad seperti disepakati sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Yang penting sekali, rakyat sudah membuat pilihan pada PRU-14. Keputusan rakyat mesti dihormati, jangan membelakangkan rakyat untuk mewujudkan kerajaan yang lain.
“Pada saya, jika (komplot) benar berlaku, ini mengkhianati amanah rakyat,” katanya.
Beliau mengulas dakwaan mengenai komplot mewujudkan kerajaan baharu tanpa DAP dan AMANAH yang didakwa didalangi bekas Naib Presiden UMNO Hishammuddin Hussein, bersama beberapa Ahli Parlimen HARAPAN termasuk dari KEADILAN sendiri.
Dakwaan itu sebelum ini dibangkitkan Majlis Setiausaha HARAPAN dalam satu kenyataan pada 15 Oktober lalu, yang menggesa Hishammuddin menghentikan kempen mewujudkan kerajaan ‘pintu belakang’ itu.
Sementara itu tambah William, sebagai seorang ahli KEADILAN, sokonganya jelas kepada Anwar.
Parti itu dalam kongres diadakan baru-baru ini secara jelas telah bersetuju dengan resolusi bahawa Anwar adalah Perdana Menteri ke lapan selepas Dr Mahathir.
“Tidak ada sesiapa yang lain,” tegas William..