Jangan sertai PH untuk tutup siasatan
Berita mengenai kemasukan anggota-anggota Parlimen BN ke dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup siasatan atau kes terhadap mereka, kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata, perkara itu diputuskan oleh Biro Politik PKR yang telah bermesyuarat pada malam ini.
“Biro Politik PKR sedar bahawa rakyat Malaysia telah membuat pilihan yang sangat jelas pada Pilihan Raya Umum ke-14, iaitu mengangkat agenda Reformasi dan menolak korupsi, salah guna kuasa dan kleptokrasi yang diamalkan rejim dahulu.
“Pada masa yang sama, Biro Politik PKR faham keresahan rakyat terhadap berita kemasukan Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional yang mungkin dijadikan alasan untuk menutup siasatan atau kes, terutama yang melibatkan salah guna kuasa, rasuah dan pemberian kontrak-kontrak termasuk kontrak pembelian senjata.
“Oleh itu, Biro Politik PKR menegaskan bahawa kemasukan ke dalam Pakatan Harapan tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup siasatan atau kes terhadap mana-mana pihak,” jelasnya.
Menurut Fahmi, Perkara itu akan akan dibincang dengan lebih lanjut dalam Majlis Presiden HARAPAN yang akan diadakan pada Sabtu nanti.
Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah spekulasi bahawa 40 anggota Parlimen Umno akan menyertai Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) seperti yang didakwa anggota Majlis Tertingginya, Datuk A Kadir Jasin.
Ia timbul susulan penyertaan Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed ke dalam BERSATU baru-baru ini.