‘Baju Komunis’ Chin Tong: Kementerian beri penjelasan jawab fitnah netizen


Kementerian Pertahanan menafikan tuduhan bahawa Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong “dengan sengaja” memakai pakaian tentera Komunis ketika membuat Pemeriksaan Kawalan Kuarter.
Menurut kementerian tersebut, pakaian yang dipakai oleh Timbalan Menteri Pertahanan itu adalah baju korporat rasmi (Bush Jacket) yang disediakan khas untuk Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan bagi tujuan lawatan kerja khususnya ke markas formasi dan kem.
“Ianya juga sebagai mematuhi arahan Menteri Pertahanan YB Tuan Hj Mohamad  bin Sabu bahawa pakaian seragam tentera tidak boleh dipakai oleh orang awam dan hanya boleh dipakai oleh anggota tentera sahaja yang telah melalui fasa latihan ketenteraan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Chin Tong mengadakan Pemeriksaan Kawalan Kuarter di Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat di Kuching pada 26 Oktober lalu.
Terdapat pihak tidak bertanggungjawab mendakwa kononnya Senator itu mengenakan pakaian menyerupai komunis semasa melakukan lawatan kerja. Ia menjadi tular di media sosial dan mengundang kecaman pelbagai pihak. –