PETALING JAYA 3 MEI : Parti Keadilan Rakyat hari ini mengemukakan bukti bergambar untuk mensabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersekongkol dengan UMNO-Barisan Nasional bagi menfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim bersabit rakaman lucah yang didalangi Datuk T.
Gambar-gambar itu menunjukkan Senior Asisten Komisioner (SAC) 1, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail menyebarkan fitnah di kalangan dua ribu guru di Bachok, Kelantan bahawa Anwar, kononnya, adalah pelaku dalam video itu.
Datuk Dr Abdul Rahman adalah Penolong Ketua Pengarah Penyelidikan dan Keurussetiaan Polis Bukit Aman,
Lebih dua ribu guru dan gurubesar disajikan fitnah daripada Datuk Dr Abdul Rahman pada 'Seminar Isu-isu Keselamatan Negara Masa Kini' di Bachok pada 19 Februari lalu dan beberapa daerah lain, kata Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.
Selain menfitnah Anwar sebagai pelaku dalam video itu, Abdul Rahman turut memberitahu seminar berkenaan bahawa Ketua Pembangkang itu adalah ancaman kepada keselamatan negara, tambah Azmin.
Jawatankuasa Induk Pengelola seminar itu melibatkan PKRM, Majlis Keselamatan Negara dan Pejabat Pelajaran Daerah Bachok.
Empat siri seminar ini dijalankan dengan membabitkan lebih 2000 pengetua dan guru-guru dari seluruh Kelantan dengan setiap sekolah diwajibkan menghantar pengetua dan 8 orang guru.
“Pembentangan Abdul Rahman Ismail bukan tertumpu kepada isu keselamatan negara sebaliknya menjadi ejen agenda fitnah UMNO dengan mengupas isu-isu seks dan lucah yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga tragedi berdarah Memali,” kata Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak. .
“Abdul Rahman Ismail telah menghukum Anwar bersalah sebagai peliwat dan juga pelanggan pelacur,” tambah beliau.
Azmin seterusnya mengemukakan beberapa persoalan :
- Mengapa seorang pegawai kanan polis terlibat menyampaikan ceramah politik yang mengulangi propaganda murahan UMNO-BN?
- Bagaimanakah pihak polis dapat menjalankan siasatan yang telus dan professional dalam isu fitnah 2, video seks dan kes Altantuya jika pegawai tertinggi PDRM terlibat dalam agenda fitnah yang keji ini?
- Mengapakah institusi polis disalahgunakan, dan bukannya untuk memerangi jenayah yang menghantui rakyat Malaysia?
- Mengapakah pengetua dan guru-guru sekolah dari seluruh Kelantan diminta hadir di seminar ini? Apakah kaitan program politik ini dengan mengangkat martabat pendidikan negara?
- Adakah langkah terdesak BN ini berpunca daripada ketakutan BN menghadapi pengaruh Buku Jingga Pakatan Rakyat khususnya di kalangan guru-guru dan keinginan merampas kuasa Kerajaan Negeri Kelantan?
Justeru, Azmin menuntut Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan timbalannya menjelaskan perkara tersebut kepada umum.
"Saya menuntut KPN untuk menjawab persoalan ini agar kita dapat menghentikan penyalahgunaan jentera kerajaan khususnya polis dan pejabat pendidikan untuk tujuan fitnah Umno," tambah Azmin.