Video lucah : PKR dokong qazaf, tolak polemik sumpah laknat dan poligraf




Parti Keadilan Rakyat mahukan isu video lucah ditangani mengikut hukum qazaf yang selaras dengan syarak Islam dan tidak akan diheret kepada polimik ujian poligraf dan sebagainya, kata Timbalan Presiden parti Azmin Ali.

Selepas sumpah laknatnya ditolak oleh tokoh-tokoh Islam sebagai tidak wajar, ahli perniagaan Shazryl Eskay kelmarin mendakwa beliau bersedia menjalankan ujian poligraf untuk “mencari kebenaran” dan mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim berbuat demikian.

Azmin berkata pihaknya tidak akan melayan desakan terbaru Eskay dan dua rakan Datuk T tetapi mahukan mereka didakwa di mahkamah syariah atas pertuduhan qazaf kerana membuat tuduhan fitnah.

“Ini bukan soal siapa bohong siapa tidak, tetapi sepatutnya ia kena ikut hukum qazaf dan syariat Islam sebab kesalahan fitnah itu tergolong dalam hukum qazaf.

“Jadi saya ingin tegaskan kita perlu laksanakan hukum qazaf dan ikut prinsip syariat Islam yang telah ditetapkan,” katanya.

Selain Eskay, “Datuk T”, adalah rujukan kepada bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Agung Perkasa Datuk Shuib Lazim.

Mereka mengaku menayangkan video lucah di Hotel Carcosa pada 21 Mac lalu, seraya mendakwa Anwar adalah pelaku dalam rakaman itu.

Ketiga-tiga mereka kemudian mengugut untuk menyebarkan video itu jika Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak berundur dari politik.

Anwar membalas dengan membuat laporan polis terhadap mereka dan menyatakan persediaan untuk kes itu disiasat menerusi hukum qazaf sebagaimana yang dicadangkan oleh beberapa mufti negeri.