100 mahasiswa UM diberi amaran tatatertib

100 mahasiswa UM diberi amaran tatatertib
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Mei: Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya (HEP UM) telah mengeluarkan satu surat tindakan tatatertib ke atas beberapa mahasiswa UM hari ini.

Sumber menyatakan pihak HEP telah ‘mengeluarkan senarai’ dan memberi amaran tatatertib kepada hampir 100 mahasiswa UM.

Pejabat HEP UM akan menelefon setiap mahasiswa yang namanya telah disenaraikan dan surat amaran itu akan diberi setelah berjumpa dengan pihak HEP UM.

Setakat kini, hampir 15 mahasiswa UM telah dihubungi dan diberi surat amaran.

Namun, beberapa sumber individu menyatakan sebahagian daripada nama yang disenaraikan HEP itu kebanyakannya daripada ahli Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM).

Antara yang termasuk dalam senarai diberi amaran tindakan tatatertib Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Ahmad Syazwan, Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Izzuddin Hilmi, dua suspek kes ‘Rosmah Puaka UM’ iaitu Aizat Roslan dan Syahrul Deen serta jurucakap SPKUM, Asri Zulkifli.

Difahamkan amaran itu dikeluarkan atas dua sebab iaitu pernah mengadakan beberapa siri himpunan haram di kampus UM sepanjang penglibatan sebagai mahasiswa UM dan disabitkan kesalahan atas cubaan mengancam keselamatan UM.

Kesemua mereka kemungkinan akan dicaj dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Selain mahasiswa Tahun Dua dan Tiga UM, turut mendapat amaran itu adalah beberapa mahasiswa Tahun Satu UM yang kebanyakannya daripada Akademi Pengajian Islam UM (APIUM).

Sehingga kini, diberitakan pelajar siswi masih tidak menerima sebarang panggilan atau surat amaran tersebut.

No comments: