SHAH ALAM 11 MEI: Cadangan menurunkan cukai pendapatan bagi memberi laluan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hanya gimik politik yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
Ini berikutan kedua-dua cukai tersebut tidak bersangkut paut antara satu sama lain.
Sebaliknya perkara yang membimbangkan adalah risiko peniaga-peniaga mengambil kesempatan keatas pengguna apabila kerajaan memperkenalkan GST kelak dengan mengenakan cukai lebih tinggi daripada empat peratus menurut Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Datuk Paul Selvaraj.
Paul berkata, rakyat akan mengalami kejutan kenaikan harga apabila GST mengambil tempat menggantikan cukai servis dan jualan, justeru pemantauan teliti harus harus dilakukan untuk membendung cukai tersebut dieksploitasi sesetengah pihak.
"Ia akan memberi kesan dalam bentuk kenaikan harga umum tapi tidak akan memberi kesan kepada rakyat miskin sebab barang yang diperlukan oleh mereka berada pada kadar sifar. Mungkin ada kesan sangat kecil kepada golongan miskin namun kepada golongan pertengahan dan kaya, harga barang akan naik sekali sahaja.
"Hanya perkara yang membimbangkan kita adalah peniaga menggunakan kesempatan ini untuk mengenakan cukai lebih tinggi dengan menggunakan GST sebagai alasan," kata beliau kepada Tv Selangor.
Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini mencadangkan kepada parlimen pada 1 Januari 2007 untuk melaksakan GST namun mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak.
Dalam majlis Perundingan Bajet 2012 di Putrajaya semalam, Najib memberitahu akan mempertimbangkan semula pelaksanaan GST bertujuan menambah pendapatan negara yang selama ini bergantung sepenuhnya kepada hasil petroleum.
Jelasnya, kerajaan berhasrat untuk menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang berada pada kadar 5 hingga 10 peratus kepada cukai yang disifatkan lebih mudah, telus dan komprehensif.
Susulan itu kerajaan akan membentangkan di parlimen pada persidangan akan datang dan melalui pendengaran kedua pada bulan Mac 2013 yang mana pelaksanaan akan mengambil tempat 18 bulan kemudian.
Dijangkakan kerajaan akan memperoleh RM1 bilion pada tahun pertama GST diadaptasikan.
Paul menambah sekiranya kerajaan berkeras melaksanakan GST, kepentingan golongan berpendapatan rendah harus diberi keutamaan termasuk mengawal jurang perbezaan masyarakat berpendapat rendah dan tinggi.
Malah beliau turut tidak menolak peningkatan kadar inflasi negara yang telah pun berada pada tahap 2.2 peratus pada Disember 2010, iaitu tertinggi dalam tempoh 19 bulan.
Ini berpunca daripada lonjakan harga makanan komoditi dan potogan subsidi oleh kerajaan pada akhir tahun lalu.
"Kerajaan harus meletakkan jaringan keselamatan pada dasar GST dan pengurangan subsidi minyak bagi memastikan golongan miskin dilindungi skim subsidi. Ini caranya untuk kekalkan taraf kehidupan yang minimum," ujar Paul lagi.
Sementara itu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berpendapat cukai baru itu masih tidak relevan untuk dilaksanakan dalam masa terdekat memandangkan fokus kerajaan kini mensasarkan negara berpendapat tinggi menjelang 2020.
"Kalau kita sudah capai tahap pendapatan tinggi mungkin ianya sesuai. Tapi oleh kerana pada masa ini ramai lagi masih tidak mampu. Kedua pada masa ini ia akan lebih membebankan orang yang lebih miskin.
Justeru beliau menjangkakan kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak akan melaksanakan GST sebelum pilihan raya.