Isu Negara Kristian - KDN Hanya Tegur Utusan




SHAH ALAM 12 MEI :Kementerian Dalam Negeri hanya memberikan surat teguran kepada Utusan Malaysia kerana menyiarkan laporan kononnya wujud agenda untuk Malaysia dijadikan negara Kristian.

Surat teguran KDN lazimnya bermakna tidak ada sebarang tindakan lain akan diambil terhadap Utusan meskipun laporan itu disifatkan sebagai fitnah yang boleh menggugat perpaduan kaum dan keselamatan negara.

Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Tun Hussein sebelum ini menjanjikan tindakan tegas terhadap pihak yang membakar api perkauman dengan memainkan isu-isu sensitif.

Utusan menyandarkan laporan muka depannya bertajuk Kristian Agama Rasmi? Pada 7 Mei hanya berpandukan kepada catatan dua blogger yang tidak mempunyai sebarang pengesahan.

Menurut kenyataan KDN, Ketua Pengarang Utusan dipanggil ke ibu pejabat KDN dan diberikan surat teguran itu.

Pada tahun 2010, KDN bertindak membatalkan permit akhbar Parti Keadilan Rakyat bersabit laporan bahawa Felda kemungkinan akan bankrap jika badan itu tidak mengekang pemborosan dan penyelewengannya yang menyebabkan rizabnya susut 60 peratus.

Ramai pihak yang membuat perbandingan menyatakan laporan Utusan kononnya Malaysia mungkin menjadi negara Kristian jauh lebih ‘merbahaya’ daripada apa yang disiarkan oleh Suara Keadilan.

Laporan Utusan Malaysia kononnya mendakwa phak gereja dan DAP bersekongkol menjadi Kristian agama rasmi Malaysia. Agenda itu kononnya di tetapkan pada satu mesyuarat di Pulau Pinang.

Dua blogger yang menjadi sandaran Utusan untuk laporan itu adalah antara puluhan blogger dalam alam siber yang saban hari mengitar fitnah dan rekayasa

Tindakan Utusan menyiarkan berita sedemikian tanpa menyiasat sendiri kesahihannya atau pun mendapatkan penjelasan serta merta daripada pihak Gereja jelas tidak bertanggungjawab dan melanggar prinsip-prinsip asas kewartawanan.

Beberapa pihak termasuk Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan Hatta Wahari berkata laporan fitnah Utusan itu cukup untuk menahan pengarang akhbar berkenaan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

No comments: