Polis akan tahan mereka sertai perhimpunan di KLCC

Jan 24, 08 9:25pm

Polis tidak akan teragak-agak menahan mereka yang menyertai perhimpunan haram oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dirancang diadakan di hadapan KLCC Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata setakat ini polis tidak menerima permohonan daripada mana-mana pihak untuk mengadakan perhimpunan itu.

"KPN (Ketua Polis Negara) ada terima faks daripada kumpulan ini yang menggelarkan diri mereka sebagai Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Barang (Protes) memberitahu untuk mengadakan perhimpunan.

"Mereka bukan buat permohonan minta permit kerana untuk minta permit mereka kena isi borang-borang tertentu," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Kuala Lumpur
hari ini.

Menurut Bernama, Zulkarnain berkata berdasarkan peraturan itu, polis menganggap perhimpunan yang akan diadakan tersebut adalah haram.

"Kita tak akan teragak-agak tahan mereka yang terlibat mengikut Seksyen 27 (8) Akta Polis kerana menghadiri perhimpunan," katanya.

Beliau berkata polis juga akan menutup jalan di sekitar kawasan KLCC dan Jalan Ampang, selain meletakkan anggota untuk menjaga keselamatan di kawasan itu pada hari berkenaan.

Kelmarin, Gabungan Protes Kenaikan Harga Minyak (Protes) berkata, pihaknya tidak akan memohon permit polis untuk mengadakan perhimpunan aman bagi membantah sebarang kenaikan harga minyak di perkarangan KLCC di ibu negara Sabtu ini.

Bagaimanapun, Penyelaras Protes, Dr Hatta Ramli (kiri) berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai perhimpunan tersebut.

"Protes dengan kerjasama unit amal Pemuda PAS, akan memastikan keadaan terkawal termasuk lalulintas," katanya yang juga bendahari PAS, dalam satu sidang akhbar kelmarin.

Di samping itu, kata Dr Hatta, Protes juga akan memaklumkannya kepada Majlis Peguam dan Suruhan jaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) supaya memantau perhimpunan aman itu


No comments: