Rakyat mula baca hak mereka dalam Perlembagaan

Hishammudin Rais | Dec 29, 07 11:06am

Semuanya berlalu. Air sungai melintasi bawah jambatan. Buah kelapa tua gugur. Daun-daun menguning dan jatuh ke bumi. Anak lahir, membesar, bersekolah, mendewasa, berkahwin dan beranak pula. Yang muda membesar. Yang tua meninggal dunia. Akhirnya tahun 2007 pergi dan tahun 2008 sampai. Semuanya bergerak bersilih ganti.

Tahun 2007 akan terus dingati sebagai tahun yang agak sengit dengan ingatan-ingatan pelbagai permasalahan negara. Dalam tahun 2007 kita telah menyambut 50 Malaya merdeka dan 44 tahun kemerdekaan Sabah dan Serawak. Dalam sejarah tamadun bangsa 50 atau 44 tahun hanyalah satu detik.

Setelah 44 tahun, kelihatan dengan jelas bahawa asas mendirikan negara Bangsa Malaysia telah mula goyah. Untuk saya, ini bukan sesuatu yang menghairankan. Mendirikan tamadun bangsa bukan sesuatu yang mudah. Projek Malaysia yang dianggap kukuh 44 tahun dahulu telah mula menimbulkan banyak persoalan.

Dalam projek Malaysia, kontrak sosial antara bangsa-bangsa telah diwujudkan, yang kemudian diikat dengan Perlembagaan. Perlembagaan adalah ibu rujukan untuk melahirkan Bangsa Malaysia. Sayangnya, Perlembagaan ini juga telah banyak kali dipinda dan ditokok tambah. Ini diikuti pula dengan rangkaian akta-akta sehingga kefahaman rakyat terhadap Perlembagaan dan akta menjadi kabur, kelam kabut dan merisaukan.

Akta-akta yang diluluskan di Parlimen bukan artikel dalam Perlembagaan. Seharusnya, jika sesuatu akta yang melanggar semangat Perlembagaan, maka akta tersebut tidak betul dan wajib dilupuskan. Banyak warga kurang sedar tentang hal ini. Warga juga kurang sedar bahawa jika ada undang-undang atau akta yang menyekat hak individu atau hak warga, maka sebagai warga negara mereka boleh mengubahnya. Ini termasuk juga Perlembagaan, jika Perlembagaan ini telah dianggap tidak sesuai lagi untuk zaman itu.

Perlembagan adalah tiang untuk membina negara bangsa. Ianya menjadi punca rujukan dan panduan. Tidak ada negara dalam dunia ini yang tidak memiliki perlembagaan negara masing-masing, kecuali Britain. Britain negara yang mencipta Magna Carta bergerak berlandaskan 'common law'. Ini pun mungkin beralih kerana telah mula ada tuntutan untuk diwujudkan satu perlembagaan untuk Britain.

Harga bahan bakar

Pada tahun 2008 yang akan datang, saya merasakan isu Perlembagaan Persekutuan akan timbul. Suasana politik dan ekonomi pada tahun 2007 telah memaksa banyak warga untuk menilai kembali hak-hak mereka yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Warga yang dahulunya tidak ambil peduli tentang Perlembagaan, akan mula membacanya untuk melihat dan meneliti hak-hak mereka di bawah Perlembagaan Persekutuan. Ini untuk saya, adalah satu kesedaran yang positif.

Bila saya menulis ini, harga minyak petrol di pasaran dunia ialah 93.28 dollar untuk satu tong. Pada bulan Ogos 2004 dahulu harga satu tong hanyalah 40 dollar. Lihatlah betapa mahalnya harga minyak mentah telah naik. Saya juga merasakan isu kenaikkan harga bahan bakar minyak ini akan terus menjadi berita dan wacana penting pada tahun 2008 nanti. Tidak dapat tidak turun naik harga bahan bakar ini akan mempengaruhi politik dunia.

Harga bahan bakar ini juga akan menjadi isu yang besar kepada negara kita. Dari apa yang telah saya baca di akhbar, kerajaan pada ketika ini sedang merancang untuk melupuskan subsidi minyak. Jika subsidi dilupus pada tahun 2008, bukan sahaja harga minyak akan naik tetapi kos hidup juga akan meledak tinggi.

Ketika saya menulis ini beberapa daerah dalam negara kita telah dan sedang dilanda banjir. Lebih dua puluh nyawa telah hilang akibat banjir ini. Pada tahun hadapan saya rasa cuaca buruk ini akan berulang lagi dan besar kemungkinan ianya akan bertambah buruk. Saya meramalkan demikian kerana pada hemat saya perubahan cuaca yang sedang kita hadapi ini adalah akibat pemanasan global.

Pemanasan global ini dari tahun ke tahun semakin menampakan impaknya. Banyak wilayah di Afrika dan Australia telah dan sedang mengalami kemarau panjang. Dalam masa yang sama, banjir besar telah melanda India, China dan Eropah. Banjir dan kemarau akan membawa kemusnahan tanah-tanah pertanian yang subur. Kawasan-kawasan pertanian – gandum dan padi – banyak yang musnah.

Termusnahnya kawasan pertanian akan membawa akibat buruk terhadap pengeluaran bahan makanan. Kekurangan pengeluaran akan menyebabkan harga bahan makan akan naik harganya. Pada tahun 2008 nanti, saya merasakan sekali lagi warga-warga miskin di Afrika, Indian dan Bangadesh akan berhadapan dengan kebuluran.

Pada tahun 2008 saya rasa pilihanraya ke-12 akan berlangsung. Ini mungkin satu pilihanraya yang agak sengit. Kesedaran politik politik tentang bangsa dan agama yang sempit akan dijadikan agenda. Untuk jangka pendek retorik kepentingan bangsa/agama yang sempit mungkin dapat memenangi hati pengundi. Tetapi dalam jangka panjang retorik para politikus seperti ini akan melambatkan lagi proses kelahiran Bangsa Malaysia.

Ekonomi mengecut

Pada 4 November 2008 pilihanraya Amerika akan dijalankan. Siapa yang akan menjadi calon-calon presiden Amerika pada ketika ini belum jelas. Untuk saya, sama ada parti Demokrat atau Republikan yang akan menduduki Rumah Putih pada tahun 2008 tidak penting. Dasar Bush menentang keganasan secara global tidak akan berubah. Dasar pro-Isreal Amerika juga tidak akan beralih. Perang di Iraq akan berterusan. Jumlah angka rakyat Iraq yang mati, cedera dan meninggalkan negara, akan bertambah. Pada tahun 2008, jumlah angka tentera Amerika yang gugur akan melintasi 4,000.

Saya melihat tahun 2008 dengan pesimis sekali. Dari apa yang saya teliti telah jelas bahawa ekonomi Amerika sedang menghadapi krisis yang amat parah. Satu laporan dari Barclays Capital dari United Kingdom telah menunjukkan bahawa 700 bilion dollar telah lupus dalam krisis pinjaman perumahan di Amerika. Malah ada penganalisa ekonomi yang memberi angka 1 trilion dolar telah lupus akibat hutang yang tidak dapat dikutip oleh bank dan syarikat pinjaman perumahan. Angka ini cukup menakutkan.

Hasil dari angka-angka ini, pada tahun 2008, saya yakin ekonomi Amerika akan mula mengecut. Apakah ianya akan seburuk Zaman Meleset (Great Depression) yang berlaku pada tahun 1929 dahulu, saya kurang pasti. Apa yang pasti, pada tahun 2008 nanti, ekonomi Amerika akan merundum dan mengecut. Jika ini berlaku pasti ianya juga akan mempengaruhi ekonomi dunia.

Malaysia juga akan mengalami ekonomi yang mengecut kerana Amerika adalah rakan niaga kita yang amat penting. Jika Amerika tidak mengimpot bahan-bahan kita maka ekonomi kita akan merundum juga. Jika ini berlaku suasana politik dalam negara kita pasti tidak menentu.

Bila saya mengucapkan selamat tinggal kepada tahun 2007 dan selamat datang 2008 dengan satu harapan, saya berharap apa yang saya tulis ini tidak akan berlaku. Selamat datang 2008.