Kes Pita Lingam: Lingam sebut kes Anwar perlu dikalahkan?


Zaili Muhammad
Mon | Nov 26, 07 | 12:44:46 pm MYT

JASIN, 26 Nov (Hrkh) - Perjalanan sistem kehakiman negara yang semakin kelam-kabut dan bercelaru kini membangkitkan persoalan di manakah maruah kita sebagai sebuah bangsa yang bebas merdeka sejak 50 tahun yang lalu.



Penasihat Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan, di manakah maruah rakyat yang merdeka apabila Ketua Hakim Negara boleh ditentukan oleh peguam yang penipu, tauke judi dan pemimpin Umno.

"VK Lingam seorang peguam yang kaya bukan kerana dia pandai, Bahasa Inggeris dia pun lebih kurang Bahasa Inggeris Menteri Penerangan tapi semua kesnya menang.

"Beliau merupakan rakan kongsi tauke judi Vincent Tan dan berpakat dengan pemimpin Umno Tengku Adnan boleh atur siapa naik Ketua Hakim Negara siapa turun, kes mana menang kes mana kalah dan kemudian dalam video yang saya tak keluarkan lagi dia sebut kes Anwar pun mesti dikalahkan," kata beliau ketika menyampaikan ceramahnya di hadapan ribuan orang yang hadir di kampung Tedong, di sini, baru-baru ini.

Dalam ceramahnya itu juga Anwar bertanya,"mana maruah kita sebagai sebuah bangsa apabila yang melantik Ketua Hakim Negara tauke judi, peguam penipu dengan tokoh Umno yang rasuah?

"Mana pemimpin Umno yang hebat, bawa keluar keris kamu datang ke kampung janji nak bela nasib orang Melayu, saya nak tanya apa jenis bangsa yang tak ada maruah yang benarkan tauke judi atur siapa Ketua Hakim Negara dan kamu biarkan saja dan tak pedulikan nasib bangsa," katanya.

Beliau menambah,"sebab itu saya katakan masalah ini bukan masalah politik tapi ini masalah maruah bangsa dan negara, negeri ini orang Melayu, Cina dan India, kita kena bertanggungjawab menjaganya."

Anwar turut menjelaskan, isu beliau diugut akan ditangkap sekiranya tidak keluarkan cerita sebenar adalah untuk mengalihkan daripada isu sebenar dalam negara kita bahawa Ketua Hakim Negara boleh ditentukan oleh kelompok macam ini.

"Pernah kita dengar 50 tahun merdeka hakim seteruk ini? Pernah kita dengar 50 tahun merdeka kes polis dengan gangster, jenayah begitu banyak seperti kes bunuh baik kes kecil tak selesai sampai kes bunuh yang besar Altantuya pun tak selesai.Sebab apa tak selesai, sebab melibatkan orang besar.

"Orang Umno ni takkan tak ada prinsip agama, takkan tak tahu hukum, saya tak tuduh Najib bunuh wanita Mongolia itu tapi semua rakyat tau yang bunuh itu orang yang terlibat dengan dia, rapat dengan dia, pegawai dia, mengapa dia tak ditanya.

"Letup pula guna bom dari Kementerian Pertahanan, dia kata dia tak kenal tapi ada keterangan di mahkamah bahawa sepupu Antantuya mengatakan dia ada tengok gambar Najib makan di restoran di Paris, hakim kata tak relevan ini macam dalam filem Hindustan," katanya. - mks.