BILA DALAM SATU KAUM ITU SENDIRI, ADA KAYA DAN MISKIN - A.Sivarajan
November 26, 2007 · No Comments
Satu lagi sejarah dicipta oleh rakyat Malaysia pada hari ini, apabila lebih 30,000 rakyat biasa kaum India turun ke jalanraya menuntut hak mereka . Cukup sudah penindasan selama 50 tahun ,meminggirkan kaum India , yang mana 80% adalah masih terdiri daripada pekerja biasa .
Walaupun demonstrasi hari ini telah dianjurkan oleh Hindraf dengan slogan menuntut hak kesamarataan untuk kaum India khususnya , tetapi kehadiran begitu ramai orang India rakyat biasa hari ini mengambarkan suatu situasi yang merentangi isu perkauman sahaja .
Pada pandangan am ,punca utama penindasan ini berupa perkauman , iaitu akibat daripada polisi -polisi pro Bumiputra yang diolah oleh Kerajaan BN sejak kemerdekaan .
Tetapi jika punca akarumbi dikaji , ianya bercetus daripada sistem kapitalisma itu sendiri . Kapitalisma yang di dukung oleh Kerajaan BN ini dibentuk agar memastikan segelintir elit kaya akan mengawal sumber dan kekayaan negara . Elit kapitalis ini tidak mengira bangsa dan warna kulit . Jika kita mengatakan orang India dipinggirkan , bagaimana pula dengan Ananda krishnan , Tony Fernandez ?? Semestinya kita tidak boleh golongan mereka bersama dengan Sarawanan , seorang pekerja kilang di Rawang yang mendapat gaji RM 800 lebih sebulan !
Oleh kerana kaum India ,kebanyakkanya adalah pekerja biasa , maka merekalah yang paling tertindas dalam konflik klas ini iaitu diantara pemodal , korporat dan golongan pekerja biasa. Pemodal , pemerintah dan golongan elit biasanya bersekongkol untuk menguasai dan mengaut keuntungan daripada rakyat biasa dan kaum pekerja .
Mungkin ada yang bertanya , “Tidakah orang Melayu sahaja yang perolehi segala bantuan daripada Kerajaan , dapat semua kontrak daripada Kerajaan ?? ” Betul , sememangnya syarikat status bumiputra diberikan keutamaan dalam pelbagai bidang . Hak keistimewaan orang Melayu ini lah yang telah membentuk satu golongan elit peniaga dan korporat Melayu . Elit dan peniaga Melayu ini , kita tidak boleh golongankan bersama Mahcik yang jual nasi lemak di pasar malam atau pekerja di kilang .
Walaupun, kaum India mungkin berpandangan bahawa , semua kaum Melayu dijaga oleh Kerajaan dan kaum India sahaja dipinggirkan , pada realitinya bukan begitu .
Kerana sifat sistem kapitalisma adalah sedemikian . Kapitalis Melayu yang sudah merasai keenakan bau wang ringgit dan kehidupan mewah akan terus berusaha mengkomplot dan memonopoli sebanyak mungkin kontrak yang mungkin . Ini dapat dilihat daripada permit teksi , AP , kontrak pembekalan dan sebagainya . ‘Hak keistimewaan Melayu’ yang sepatutnya sampai kepada semua kaum Melayu hanya dipegang oleh segelintir elit dan kroni Umno –putra .
Scenario yang sama dapat dilihat di antara lapisan kaum India juga . Mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan MIC dan parti pemerintah akan mengondol segala kontrak dan peluang perniagaan , meminggirkan yang majoriti kaum India .
Kebenaran kapitalisma ini amat ketara terutamanya pada masa kini . Adalah sungguh aneh, pada masa yang sama, klas kaum India yang berbeza mendapat perhatian di berita utama .
VK Lingam , seorang peguam yang begitu kaya dan berkuasa sehingga dapat menentukan kedudukan Hakim Negara sendiri , sekaligus memaparkan korupsi pada peringkat yang tertinggi juga merupakan seorang India.
Pada masa yang sama , kita juga lihat bagaimana seorang peniaga India , Nallakaruppan melancarkan parti barunya Malaysian Indian United Party (MIUP) di Hotel Istana , dalam suatu majlis yang begitu mewah. Kononya beliau juga ingin membantu kaum India. Persoalannya kaum India yang mana ??
Pada masa yang sama juga berlakunya kejadian bersejarah yang disaksikan pada pagi ini , apabila rakyat biasa , golongan pekerja dan berpendapatan rendah kaum India, memberanikan diri didepan FRU menuntut hak mereka . Bolehkah kita golongankan VK Lingam dan Nallakaruppan sebagai golongan tertindas bersama ribuan rakyat yang turun ke jalanraya pagi ini ? Semestinya tidak .
Inilah yang kita maksudkan dengan perjuangan klas, perbezaan jelas antara kaya dan miskin . Perbezaan ekonomi, politik dan sosial diantara rakyat Malaysia bukanlah kerana warna kulit, etnik tetapi ianya adalah perbezaan klas . Yang kaya menjadi terus kaya kerana meragut segala peluang perniagaan dan kontrak dan yang miskin akan terpinggir.
Kebenaran inilah yang telah membawa 30,000 rakyat biasa, majoritinya orang Melayu ke jalanraya dalam demonstrasi besar-besaran pada 10hb November yang lalu .
Syabas kepada mereka yang telah memberanikan diri berdemonstrasi pada 10hb .November . Syabas kepada mereka yang telah berdemonstrasi pada hari ini , 25 hb November , 2007 !
AWAS Barisan Nasional , rakyat telahpun sedar . Rakyat tidak lagi percaya dengan semua tipu helah mu . Perhimpunan tiada permit ! , Arahan Mahkamah menghalang demonstrasi ! , Roadblock ! dan kempen ‘ Demonstrasi bukan Budaya Kita dalam media massa , kesemuaya dipatahkan oleh semangat rakyat pada hari ini .
Adalah amat menakjubkan bahawa , hanya selepas 2 minggu protes Bersih di buruk-burukkan dan dikecam dalam media massa , kini rakyat bangkit lagi menentang keangkuhan pemerintah.
Ombak demonstrasi perlu berterusan , rakyat tertindas , terpinggir oleh sistem kapitalis BN ini perlu bergabung tenaga tanpa mengira kaum dan agama . Pak Lah dan Najib perlu memikrkan taktik baru untuk menakutkan rakyat . Mungkin mereka ingin mendorong puak –puak extrimis untuk menimbulkan perbalahan antara kaum . Kerana hanya dalam keadaan sedemikian , situasi darurat dapat diungkitkan sepertimana yang dilakukan pada 13hb Mei , 1969 .
Tindakan politik berbilang kaum pernah dilakukan, 60 tahun yang lalu , pada 20 hb Oktober , 1947 , apabila pelbagai organisasi dan pergerakan rakyat berbilang kaum melancarakan HARTAL yang mengegarkan empayar British pada masa itu .
Kini, rakyat Malaysia perlu membina semangat Hartal itu semula , kalau kita ingin benar –benar membawa perubahan dan menumpaskan Kerajaan Kapitalis Barisan Nasional ini .
Hidup perjuangan rakyat !
A. Sivarajan
PSM