PAS Edar Sampul Duit Raya Kuning, Poster Kekalkan Momentum Bersih



KUALA LUMPUR 25 OGOS : Pemimpin dan ahli-ahli PAS pelbagai peringkat termasuk Dewan Pemuda parti Islam itu mengambil langkah untuk mengekalkan momentum perhimpunan Bersih 2.0 sempena musim sambutan Aidilfitri yang jatuh minggu depan.
Antara langkah itu ialah penerbitan poster berkaitan lapan tuntutan pembaharuan pilihan raya yang dibawa oleh Bersih 2.0.

Usaha itu digerakkan oleh parti itu ketika spekulasi pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam waktu terdekat terus meningkat.

Awal bulan lalu, Bersih 2.0 bergerak bersandarkan warna kuning manakala kumpulan yang menentangnya, khususnya pihak Pemuda Umno menggunakan warna merah dengan moto “Patriot”.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Riduan Mohd Nor memberitahu The Malaysian Insider, pihaknya akan mengedarkan sekitar 30,000 poster di seluruh negara untuk meneruskan semangat Bersih 2.0 yang disaksikan awal bulan lalu.

Penganjur Bersih 2.0 mendakwa sekitar 50,000 berhimpun di ibu negara di sebalik larangan dan kawalan keselamatan ketat polis.

“Poster-poster ini akan diedarkan kepada kepimpinan PAS di seluruh negara agar momentum sedia ada ini dapat diteruskan, kami tidak mahu momentum yang telah dibina ketika perhimpunan Bersih 2.0 tempoh hari hilang begitu sahaja.

“Ini salah satu cara... usaha Dewan Pemuda PAS, di bawah penyeliaan lajnah penerangan,” kata beliau ketika dihubungi.

Riduan menambah, pihaknya merasakan usaha tersebut penting memandangkan Umno dan Barisan Nasional (BN) menggunakan isu Bersih 2.0 dan kedudukan Pengerusinya Datuk S Ambiga untuk terus mengelirukan pengundi kawasan luar bandar khususnya orang Melayu.

“Justeru, kami merasakan sesuatu perlu dilakukan untuk melawan taktik Umno dan BN ini, dan menjelaskan keadaan sebenar tuntutan Bersih... bahawa ia diadakan demi kepentingan rakyat semua kaum dan agama, bukan sebagaimana didakwa oleh Umno,” katanya lagi.

Dengan merujuk kepada pendirian tidak konsisten Putrajaya berhubung soal pembentukan jawatankuasa pilihan khas Parlimen, kata beliau, pihaknya juga mengambil langkah tersebut kerana sedar bahawa ada kemungkinan tidak akan menunaikan janji pembaharuan.

“Kami tidak yakin kerajaan akan melakukan pembaharuan pilihan raya, jadi sekiranya tiada pembaharuan, kami mahu perhimpunan kali ketiga diadakan... Bersih 3.0 diadakan kemudian... ini persiapan ke arah itu,” kata beliau lagi.

“Untuk itu kita perlu meneruskan momentum sedia ada, jangan biarkan ia mati begitu sahaja,” kata beliau.

Poster itu menggariskan kesemua lapan tuntutan dibawa Bersih 2.0, kata Riduan.

Bersih 2.0 atau Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil telah mengemukakan lapan tuntutan ke arah memperbaiki perjalanan dan pengendalian pilihan raya negara ini dengan mengadakan perhimpunan di ibu negara pada 9 Julai lalu.

Antara lapan tuntutan tersebut ialah supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pengundi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minimum 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Selain itu, PAS, anggota komponen Pakatan Rakyat, juga mengedarkan mesej Bersih 2.0 dalam bentuk kad ucapan Aidilfitri dan sampul duit raya.

Beberapa PAS kawasan dikatakan mengeluarkan sampul duit raya menjelang sambutan Aidilfitri kali ini.

“Memang ada kawasan yang mengeluarkan sampul duit raya, saya difahamkan PAS kawasan Gombak,” kata Riduan.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sekretariat pusat parti itu tidak mengeluarkan sampul duit raya khas tetapi ada kad raya yang menggunakan mesej Bersih 2.0.

“Kalau ada sampul duit raya dikeluarkan, ia mungkin dibuat oleh PAS kawasan... ia usaha masing-masing PAS kawasan. Tetapi setahu saya ada kad raya, kami senaraikan lapan tuntutan Bersih 2.0,” katanya.

Tinjauan The Malaysian Insider baru-baru ini mendapati, antara PAS kawasan yang berbuat demikian ialah Kuala Selangor, yang menghulurkan duit raya kepada keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan dan berpendapatan rendah dengan menggunakan sampul duit raya khas.

Ini kali pertama PAS, yang sinonim dengan warna hijau, menggunakan sampul duit raya berwarna kuning.

Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad mengakui usaha itu sebahagian daripada langkah menghidupkan terus “semangat menuntut pembaharuan pilihan raya” sempena sambutan Aidilfitri.

“Kalau sampul duit raya dalam warna kuning, ya, ini kali pertama... menggunakan mesej Berih,” katanya.

“Ini salah satu cara. Selain itu, kami juga akan mengedarkan kit maklumat mengenai isu-isu semasa dan Bersih. Kami perlu mengekalkan semangat menuntut pembaharuan ini,” kata beliau lagi.

No comments: