PROTES AZMIN LANGKAH AWAL UNTUK HALANG ANWAR JADI PERDANA MENTERI?
Tindakan Azmin Ali secara terbuka mengkritik dan menolak beberapa perlantikan yang dibuat oleh Anwar Ibrahim bagi pengisian jawatan dalam PKR dengan jelas menunjukkan beliau kini tidak lagi sebulu dengan Presiden PKR itu.
Ikut hukum berparti, tiada apa yang perlu Azmin pertikaikan dengan perlantikan itu kerana ia adalah hak mutlak Anwar selaku Presiden PKR.
Dalam mana-mana parti, malah dalam UMNO pun begitulah amalannya. Presiden akan melantik sesiapa juga yang disukainya dan dirasakan boleh bekerjasama dengannya.
Tun Mahathir Mohamad sendiri pun pernah mengekalkan jawatan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai menteri, meskipun Ahli Parlimen Gua Musang itu kalah sebanyak dua kali dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden UMNO kepada Musa Hitam.
Lebih daripada itu, di sebalik kalah dan ada bantahan daripada Musa Hitam terhadap kedudukan Tengku Razakeigh dalam kerajaan, tetapi Tun Mahathir terus juga mengekalkannya.
Realitinya, itulah kuasa Perdana Menteri yang tidak jauh bezanya dengan kuasa presiden parti dalam melantik sesiapa yang disukainya.
Apakah Azmin tidak faham mengenai kuasa Anwar itu?
Selain itu, bantahan dan kritikan Azmin juga menampakkan sikap tamaknya mahu mengusai PKR.
Setelah pemimpin-pemimpin yang dikaitkan mempunyai hubungan rapat dengannya memenangi 3 daripada 4 jawatan Naib Presiden dan 14 daripada 20 jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat dalam pemilihan PKR baru-baru ini, adalah agak menghairankan mengapa beliau masih mahu mempertikaikan perlantikan bagi jawatan lain yang memang menjadi hak mutlak Anwar untuk memilih sesiapa saja yang disukainya.
Jika perlantikan Rafizi yang dipertikaikannya, Azmin harus sedar bekas Ahli Parlimen Pandan itu telah memperolehi undi hampir 49 peratus dalam pemilihan PKR baru-baru ini.
Ia dengan sendirinya menunjukkan beliau ada kekuatan dan tidak boleh diketepikan begitu saja.
Begitu juga Saifuddin Nasution Ismail sebagai Setiausaha Agung, selagi Anwar selesa dan senang dengan kerja dan kemampuannya dalam menjalankan tugas, ia tidak harus menimbulkan apa-apa masalah bagi sesiapa.
Yang menerajui parti ialah Anwar dan sudah tentu beliau mahukan pasukan yang dipercayainya untuk bekerja secara rapat dengannya.
Sama halnya dengan lantikan-lantikan lain, memang ada yang tidak puas hati di sana sini mengenainya, tetapi selagi semua orang menyedari ia adalah hak dan kuasa presiden parti, maka ia hendaklah diterima dengan hati yang terbuka.
Lagi pun, Anwar sendiri sudah menjelaskan lantikan daripada pelbagai kelompok yang dibuatnya adalah untuk menjadikan PKR sebuah parti yang inklusif.
Masih susahkah Azmin mahu memahaminya atau semua ini dilakukan dengan sengaja?
Apakah Azmin sekarang ini, oleh kerana sudah ada Tun Mahathir sebagai pelindung dan penaungnya, maka beliau kini begitu bernafsu untuk melonjak lebih tinggi serta tidak segan silu lagi menunjukkan permusuhan dengan Anwar?
Apakah semua tindakan ini secara tidak langsung bertujuan untuk menjadikan PKR tidak padu, parti yang berpecah dan menunjukkan Anwar sebagai pemimpin yang gagal menerajui parti sendiri, lalu akhirnya memberi lorongan untuk Tun Mahathir agar tidak melakukan peralihan kuasa dan terus memegang jawatan Perdana Menteri sehingga PRU15 pada tahun 2023 nanti? (ShahbudinHusin 29/12/2018)
BEKAS AHLI UMNO TIDAK BOLEH PEGANG JAWATAN HINGGA PRU 15
Bekas ahli Umno tidak boleh pegang jawatan hingga PRU 15
Bekas ahli Umno yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 tidak dibenarkan memegang jawatan sehingga PRU ke-15.
Pengerusi Bersatu memberikan jaminan itu dalam ucapan pada Perhimpunan Agung Tahunan Kali Kedua Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
“Jika diterima, tidak boleh pegang jawatan sehingga PRU-15. Lama. Ya lama.
“Ujian keikhlasan tidak boleh dipercepat. Hanya jika betul-betul ikhlas, jika sudah buang budaya Umno, barulah boleh diterima sesuai untuk pegang jawatan,” katanya.
Berucap di hadapan kira-kira 1,500 perwakilan, Mahathir berkata, terdapat ahli Bersatu yang bimbang penerimaan bekas anggota Umno akan membawa budaya parti lama parti mereka.
Bagaimanapun, jelas Mahathir, perkara tersebut tidak akan dibiarkan berkembang dalam Bersatu.
“Yang akan bertukar ialah bekas parti lain. Mereka akan serap budaya kita. Mereka akan bekerjasama dengan kita,” katanya lagi.
Sejak enam bulan lalu, Umno menyaksikan satu demi satu wakil rakyatnya lompat parti dan beberapa daripada mereka menyertai Bersatu.
Daripada 54 kerusi parlimen yang dimenangi pada PRU ke-14, kini Umno hanya berbaki 38 anggota parlimen.
Setakat ini, tiga anggota parlimen yang keluar Umno telah diterima ke parti Bersatu iaitu Mustapha Mohamed (Jeli), Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah). –
HIMPUNAN BERSATU: MUNGKIN UCAPAN TUN MAHATHIR YANG TERAKHIR
Himpunan Bersatu: Mungkin ucapan Tun Mahathir yang terakhir
Dalam mesej perpisahan penuh beremosi, Dr Mahathir Mohamad berkata ucapan dasarnya sebagai pengerusi Bersatu mungkin menjadi yang terakhir.
Beliau berharap masyarakat Melayu Islam menggunakan peluang baharu yang wujud hasil perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke 14 akan memecahkan budaya lampau dan membentuk yang baharu.
Dr Mahathir, yang merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat di negara ini berkata, akhirnya, beliau tidak peduli apa yang orang perkatakan mengenai dirinya.
“Ya. Saya akan dituduh rasis kerana pendedahan nasib Melayu dan Bumiputera ini. Tetapi selama lebih 70 tahun saya telah lihat kemerosotan yang berlaku pada kaum bangsa saya,” kata Dr Mahathir ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali kedua yang diadakan di Putrajaya malam ini.
Dr Mahathir turut menerima tepukan gemuruh sebaik sahaja menamatkan ucapannya dan ianya diikuti dengan laungan “Hidup Tun” berulang kali oleh perwakilan.
“Tak mengapalah jika diburukkan nama saya asalkan bangsa saya sedar akan nasib buruk yang akan menimpa mereka di masa hadapan.
“Sedarlah bahawa kita yang salah. Tak usah cari kesalahan orang lain. Pemulihan berada di tangan kita. Usaha yang diperlukan tidak sebegitu besar. InsyaAllah akan terhasillah pengorbanan kita.”
“Itulah pesanan saya. Peluang bagi menyampaikan ucapan seperti ini di tahun hadapan mungkin ada, mungkin tidak. Justeru, peluang ini tidak boleh dilepaskan. Diharap bangsaku akan tolak budaya lama dan cipta budaya baru, budaya yang tetap akan menyelamatkan kita.”
KERAJAAN CAMPURAN UMNO – PH ‘MIMPI MAT JENIN’ – TUN M
Kerajaan campuran Umno – PH ‘mimpi Mat Jenin’ – Tun M
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kerajaan yang diidamkan Umno bagi kembali mengambil alih pentadbiran negara hanyalah “mimpi Mat Jenin”.
“Ada yang masih fikir mereka (Umno) sebagai sebuah parti politik boleh bergabung dengan parti-parti lain, mendapat cukup bilang untuk mendirikan kerajaan campuran.
“Ada pemimpin yang percaya mereka akan pimpin kerajaan campuran baru ini. Semua harapan ini meleset, mimpi Mat Jenin, mimpi akan sesuatu yang tidak berasas dan tidak akan berlaku.
“Umno sudah hancur, dihancur oleh pemimpin yang tamak dan anggap manusia boleh dibeli dengan duit,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam ini.
Mahathir bagaimanapun tidak mengulas secara spesifik “kerajaan campuran Umno” yang dimaksudkannya.
Setiausaha Agung BN Nazri Abdul Aziz sebelum ini mendedahkan beliau pernah berjumpa Anwar Ibrahim yang dijangka menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri untuk berbincang.
Nazri mendakwa Anwar setuju untuk tidak membubarkan Umno dan sebagai balasan, Umno akan menyokong beliau sebagai perdana menteri.
Nazri bagaimanapun berkata pemimpin Umno hanya akan mesra kerajaan, namun tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan.
SIAPA PEMECAHBELAH PARTI YANG AZMIN MAKSUDKAN ?
Saya merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden Keadilan, YB Dato' Seri Azmin Ali yang disebarkan melalui media hari ini yang telah mempertikaikan beberapa keputusan Presiden Keadilan, YB Dato' Seri Anwar Ibrahim di dalam melantik beberapa tokoh untuk menduduki jawatan penting di dalam parti.
Beliau menggesa Presiden untuk mengkaji semula perlantikan tersebut atas alasan 'tdak adil' dan ada tokoh yang dikaitkan dengan perpecahan dalam parti turut terpilih memegang jawatan penting. Siapakah yang beliau maksudkan? Adakah lawannya sewaktu pemilihan parti baru-baru ini iaitu Sdr Rafizi Ramli (Naib Presiden yang baru dilantik) atau YB Sdr @Saifudin Nasution (SUA yang dikekalkan) yang dimaksudkan sebagai pemecahbelah parti? Atau beliau melihat kesemua yang dilantik oleh Anwar itu sebagai punca perpecahan parti?
Sebagai seorang Timbalan Presiden, bahkan sebagai seorang Menteri Kanan kerajaan, Azmin tidak seharusnya membuat tuduhan rambang sedemikian rupa. Sekiranya beliau menganggap kerana jawatan beliau ditandingi baru-baru ini maka lawannya adalah pemecahbelah parti, maka tidak salah juga sekiranya ada yang menganggap Azmin juga terlibat di dalam perpecahan parti sekiranya benar terdapat perpecahan.
Hakikatnya, sebaik sahaja selesai pemilihan di dalam parti, tidak wujud perpecahan seperti yang digambarkan oleh Azmin. Sdr Rafizi sanggup mengalah meskipun beliau tahu beliau boleh menang besar sekiranya sistem E-Voting berjalan dengan baik tanpa dimanipulasikan. Beribu ahli di Cabang Julau telah bersedia untuk memberikan kemenangan selesa buat Rafizi sekiranya mereka dibenarkan mengundi tempohari. Namun, atas nasihat Anwar bagi mengelakkan kontroversi, Rafizi rela menerima kemenangan Azmin meskipun dengan jumlah undi yang tipis. Tindakan Rafizi ini adalah untuk mengelakkan perpecahan berlaku di dalam parti. Sudah tentu tidak masuk akal untuk mendakwa Rafizi sebagai punca perpecahan dan tidak layak dilantik sebagai Naib Presiden.
Tiga jawatan Naib Presiden lantikan itu sememangnya terletak di bawah kuasa Presiden. Begitu juga dengan perlantikan beberapa Ahli MPP yang diberi kuasa kepada Presiden untuk melantik selain dari yang telah dipertandingkan. Perlantikan SUA sememangnya hak Presiden kerana SUA mestilah seorang yang boleh dipercayai oleh Presiden untuk menjalankan tugasnya. Azmin sebenarnya tahu peraturan ini dan tidak wajar beliau mempertikaikannya sebagaimana orang lain tidak boleh mempertikaikan hak-haknya sewaktu beliau menjadi Pengerusi MPN Selangor dan juga MB Selangor sebelum ini.
Sewaktu beliau menjadi MB Selangor dahulu, banyak isu yang dipertikaikan seperti perlantikan Exco dan sikapnya yang terus mempertahankan Exco Pas di Selangor meskipun Pas secara resminya mengumumkan Keadilan, Dap dan Amanah adalah musuhnya. Mengapa Azmin tidak menggugurkan Exco-Exco Pas waktu itu? Jawapannya, itu adalah haknya sebagai MB. Apakah waktu itu beliau membuat keputusan secara bersama di dalam Pakatan Harapan di Selangor? Bahkan, sehingga PRU14 Selangor masih tidak dikatakan negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan. Tidakkah waktu itu beliau boleh dikatakan punca perpecahan di kalangan Pakatan Harapan di Selangor?
Itu belum lagi dikira berapa banyak keputusan Presiden parti yang waktu itu dipegang oleh YB Dato' Seri Wan Azizah dan keputusan Biro Politik yang gagal dipatuhi oleh beliau. Kegagalan beliau mendisiplinkan diri itu menyebabkan ahli-ahli menjadi keliru dan timbulnya berbagai pandangan yang bertentangan dengan kehendak parti. Bukankah sikapnya itu boleh menjadi punca perpecahan parti ?
Azmin tidak boleh menyamakan pandangannya terhadap seseorang dengan pandangan Presiden. Musuh Azmin di dalam politik tidak boleh dikatakan itu juga adalah musuh Anwar dan parti. Jika Azmin turun ke akar umbi dan di Cabang-Cabang, Azmin sendiri akan lihat betapa terdapatnya Ketua-Ketua Cabang yang menyokong beliau dahulu telah menggunakan kuasa dan hak mereka semaksima mungkin untuk melantik AJK-AJK dan Biro-Biro di Cabang dari kalangan penyokong mereka sendiri. Kami di Cabang redha dan akur dengan kuasa yang ada pada Ketua-Ketua Cabang. Mengapa Azmin tidak boleh akur dengan kuasa yang ada pada Presiden?
Saya masih ingat kata-kata dalam pidato Timbalan Presiden di Konvensyen Keadilan baru-baru ini di Shah Alam. Beliau mengungkapkan kata-kata penyatuan dan menyeru setiap ahli untuk melupakan soal pemilihan dan terus maju ke hadapan. Kata-kata itu begitu sejuk telinga mendengarnya sesejuk penghawa dingin di IDCC, Shah Alam.
WFAUZDIN NS
Anwar minta pihak berkuasa PD tangguh kelulusan projek besar

Anwa Ibrahim ketika melancarkan Program Hari Pembersihan Pantai di Pantai Cahaya Negeri di Port Dickson hari ini.
Pihak berkuasa di sini telah diminta menangguhkan sebarang kelulusan bagi projek besar, sementara menunggu Pelan Struktur Port Dickson (PD) yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mesyuarat mengenai Pelan Struktur PD akan diadakan minggu depan dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa yang berkaitan.
“Saya beritahu mereka kira-kira sebulan yang lepas agar menangguhkan sebarang kelulusan bagi projek-projek besar kerana kami tidak mahu mengganggu Pelan Struktur ini,” katanya kepada wartawan selepas melancarkan Program Hari Pembersihan Pantai di Pantai Cahaya Negeri di sini hari ini.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata Pelan Struktur PD adalah penting untuk menjadikan bandar ini destinasi pelancongan utama dan untuk memastikan infrastruktur adalah mencukupi bagi persediaan menerima pelaburan besar dari dalam dan luar negara.

Aktiviti pembersihan dilakukan di Pantai Saujana, Pantai Tanjung Gemuk, Pantai Teluk Kemang dan Pantai Tanjung Biru.
Sementara itu, semasa berucap merasmikan program berkenaan, Anwar berkata beliau telah mendapat persetujuan daripada Menteri Besar Aminuddin Harun untuk merencanakan pelan struktur ini bagi kawasan Port Dickson dan sekitarnya.
“Pelaburan dari luar negara kami belum mahu luluskan sehingga ada pelan struktur…tak boleh tambah hotel dan pusat perniagaan tetapi tidak ada pelan yang teratur.
“Saya juga dah berbincang dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, tetapi tentulah dia tak boleh bagi perhatian khas kepada Port Dickson tetapi dia boleh bagi kemudahan tambahan untuk memastikan infrastruktur di sini teratur,” katanya.
Berita penuh https://malaysiadateline.com/anwar-minta-pihak-berkuasa-pd-tangguh-kelulusan-projek-besar/
Pihak berkuasa di sini telah diminta menangguhkan sebarang kelulusan bagi projek besar, sementara menunggu Pelan Struktur Port Dickson (PD) yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mesyuarat mengenai Pelan Struktur PD akan diadakan minggu depan dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa yang berkaitan.
“Saya beritahu mereka kira-kira sebulan yang lepas agar menangguhkan sebarang kelulusan bagi projek-projek besar kerana kami tidak mahu mengganggu Pelan Struktur ini,” katanya kepada wartawan selepas melancarkan Program Hari Pembersihan Pantai di Pantai Cahaya Negeri di sini hari ini.
Berita penuh https://malaysiadateline.com/anwar-minta-pihak-berkuasa-pd-tangguh-kelulusan-projek-besar/
PENEGASAN YANG AMAT BERMAKNA DARIPADA MUHYIDDIN
Penegasan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin bahawa parti itu akan tetap berpegang kepada janji untuk menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8, tentulah suatu kenyataan yang amat bermakna pada waktu ini.
Ia amat bermakna kerana beliau mengeluarkan kenyataan itu bukan saja menjelang Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang diadakan bermula hari ini hingga 30 Disember di PICC di Putrajaya, malah di ketika khabar angin semakin bertiup kencang mengenai hubungan Tun Mahathir Mohamad dengan bakal penggantinya itu.
Pendirian Muhyiddin dalam soal ini amat mudah untuk difahami iaitu peralihan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar itu sudah dipersetujui dan diterima rakyat ketika mereka memberi undi kemenangan kepada Pakatan Harapan dalam pilihanraya umum lalu.
Kata beliau, menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8 adalah kehendak rakyat yang tidak boleh dinafikan dan Bersatu akan tetap berpegang kepada janji tersebut.
Malah, Muhyiddin turut memberi amaran Pakatan Harapan mungkin kehilangan kuasa dalam pilihanraya akan datang kiranya gagal menunaikan kehendak rakyat itu.
Dengan kenyataan Muhyiddin ini, ahli-ahli Bersatu dan pejuang maya parti itu perlu akur dan sependirian dengan beliau demi masa depan parti dan Pakatan Harapan agar terus menerajui negara ini.
Muhyiddin bukan saja melihat peralihan kuasa kepada Anwar itu dalam konteks menepati janji, suatu perkara yang dituntut dalam agama, bahkan yang turut penting ialah untuk menentukan Pakatan Harapan terus menang dalam PRU15 nanti.
Adakah sesiapa dalam Pakatan Harapan mahu kehilangan kuasa dalam pilihanraya akan datang nanti? (ShahbudinHusin 28/12/2018).
Lelaki nafi dakwaan hubungan intim dengan Anwar= Lihat gambar caption Instagram beliau sebelum ini
Ada kelompok mungkin dalam parti sendiri yang cuba kenakan Anwar. Beberapa posting sebelum ini berlegar. Isu ini dibawa oleh Lokman Adam pada PRK Port Dickson yang lalu, Malahan mendakwa bahawa Anwar akan menjadi egen Singapura jika menjadi Perdana Menteri. Malahan dikatakan juga Anwar melakukannya di Singapura . Lalu timbulah usaha ini. Namun dikelompok yang tidak menamakandiri mereka , malahan baling batu sembunyi tangan tidak berani mendakwa secara terbuka.
Punya usaha nak kenakan lagi Anwar ???

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan kosmestik mengancam tindakan undang-undang terhadap sebarang kenyataan yang mendakwa dia mempunyai hubungan intim dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Adrielle Iman berkata demikian selepas gambarnya menghadiri majlis semasa pilihan raya kecil Port Dickson dan satu klip video tular di media sosial.
Beliau berkata kehadirannya di majlis tersebut adalah sebagai ketua pegawai eksekutif AV Perfume dan duta Quantum Metal, penaja 5 majlis yang disertai presiden PKR itu ketika berkempen.
“Saya sokong dan memainkan peranan saya sebagai duta sahaja tidak ada apa-apa yang peribadi,” katanya di Instagram.
Adrielle berkata tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang menyebarkan berita tidak benar tentang dirinya.
“Cukuplah dengan permainan kotor politik ini, saya tidak layak diperkenakan sebegini, saya hanya rakyat biasa dan penyokong.
“Video saya bogel itu mana ada muka Anwar? Nak editor lagi padu saya boleh cadang videographer saya, dia edit lagi ‘tip top’ setakat video itu tidak lakulah bro,” katanya.
KERAJAAN P PINANG AKAN ATASI MASALAH BANJIR 3 SEKOLAH
Kerajaan P Pinang akan atasi masalah banjir 3 sekolah
Kerajaan Pulau Pinang sedia mengatasi masalah banjir kilat yang sering melanda tiga buah sekolah di Mak Mandin setiap kali berlaku hujan lebat.
Adun Bagan Jermal, Soon Lip Chee berkata, perkara itu sudah pun berada dalam pengetahuan kerajaan negeri dan dalam peringkat perbincangan untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik.
“Saya sendiri telah mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan Mak Mandin dan memang isu ini telah lama berlaku. Kita pun sedia maklum mengenai masalah ini.
“Kita sedang berbincang dan mencari mekanisme terbaik untuk mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku sejak lebih 20 tahun lalu,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Menurutnya, masalah banjir kilat itu turut menjejaskan sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Mandin dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Mak Mandin.
“Setakat ini kita baru siap bina jambatan baru di Mak Mandin, tapi ia belum siap sepenuhnya.
“Kita akan rancang dan fikirkan kaedah terbaik untuk menangani masalah banjir kilat pada masa hadapan,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Exco Belia dan Sukan berkata, setakat ini belum ada suatu tempoh ditetapkan untuk pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf di kawasan berkenaan.
RAFIZI MINTA PEGUAM NEGARA KAJI SEMULA PERTUDUHAN KE ATASNYA
Rafizi minta Peguam Negara kaji semula pertuduhan ke atasnya
Bekas ahli Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengkaji semula pertuduhan yang dihadapinya berhubung tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH), dua tahun lepas.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Md Yunos Shariff yang bertindak bagi pihak Rafizi, bekas naib presiden PKR, kepada Majistret Umzarul An-Nur Umar pada sebutan lantikan peguam di Kuala Lumpur hari ini.
Md Yunos berkata beliau telah dilantik mewakili Rafizi pada 18 Disember lepas bagi menggantikan peguam terdahulu Gobind Singh Deo.
Katanya anak guamnya telah mengarahkan beliau untuk mengemukakan representasi itu pada 4 Januari ini. Mahkamah menetapkan 28 Januari ini bagi mengetahui status representasi tersebut dan sekiranya ditolak, tarikh sambung bicara untuk pembelaan ditetapkan pada 27 dan 28 Februari depan.
Pada 25 September lepas, Rafizi diperintahkan untuk membela diri selepas Umzarul An-Nur mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Pada 8 April 2016, Mohd Rafizi, mengaku tidak bersalah menyiarkan artikel bertajuk “Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015” dalam akaun Facebook Rafizi Ramli bertarikh 9 Februari 2016, yang mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak pada 9 pagi, 18 Februari 2016 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Rafizi turut diwakili peguam Adi Zulkarnain Zulkafli manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jaizah Jaafar Sidek
KEMENTERIAN KERJA RAYA DIBERI 6 BULAN UNTUK KURANG TOL
Kementerian Kerja Raya diberi 6 bulan untuk kurang tol
Kementerian Kerja Raya diberi masa enam bulan sehingga Mei depan oleh Jemaah Menteri untuk mengemukakan cadangan mengurangkan beban tol terhadap rakyat, kata menterinya Baru Bian.
Untuk itu, kementeriannya akan melantik juru perunding audit bebas bertauliah awal bulan depan bagi membantunya menganalisis data dan cadangan tersebut.
“Ini termasuklah mengemukakan cadangan mengurangkan beban tol secara jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.
“Hasil kajian itu dijangka akan dibentangkan untuk pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri pada bulan Mei 2019 nanti,” kata Baru dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam mengenai penangguhan kenaikan tol tahun depan serta pemansuhan tol ke atas motorsikal di tiga laluan mulai 1 Januari ini.
Semalam, Lim mengumumkan pembekuan kenaikan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya tol di seluruh negara yang sepatutnya dinaikkan tahun depan, serta tol bagi bas di lapan lebuh raya berasingan.
Kerajaan juga memansuhkan tol bagi motosikal di kedua-dua jambatan di Pulau Pinang dan Lebuh Raya Laluan Kedua di Johor bermula 1 Januari ini.
Keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Disember lalu melibatkan anggaran kos RM994.43 juta, tambah Lim.
“Cadangan penangguhan kadar tol ini dilihat sebagai satu kaedah berterusan Kerajaan bagi mengekang kenaikan kos sara hidup rakyat,” kata Baru.
Oktober lalu, Baru mengulangi kenyataannya bahawa kerajaan komited mahu menghapuskan tol seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan, namun keadaan kewangan negara pada masa ini tidak mengizinkan.
FORMULA MERBAHAYA DARIPADA SHAHIDAN.....
Pemimpin UMNO Perlis yang sedang berdepan pendakwaan di mahkamah atas tuduhan mencabul seorang gadis bawah umur, Shahidan Kassim berkata, Tun Mahathir Mohamad boleh terus mengekalkan kuasanya sebagai Perdana Menteri meskipun sekiranya PKR dan DAP keluar daripada Pakatan Harapan.
Katanya, dengan keluarnya PKR dan DAP, Tun Mahathir masih mampu mengekalkan kuasanya melalui sokongan daripada Ahli Parlimen Melayu dan Bumiputera.
Dengan mengambil kira semua Ahli Parlimen UMNO, Pas serta daripada Sabah dan Sarawak memberi sokongan kepada Tun Mahathir, kata Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau, Perdana Menteri akan mendapat sokongan yang cukup kuat iaitu daripada sejumlah 129 Ahli Parlimen.
Kiraan 129 yang disebutnya itu adalah berdasarkan jumlah 221 Ahli Parlimen keseluruhan (tidak dikira Cameron Highland yang akan ada pilihanraya kecil pada 26 Januari depan) yang ditolak dengan 50 jumlah kerusi Parlimen PKR dan 42 lagi kerusi milik DAP.
Dalam erti kata lain, melalui formula atau idea Shahidan itu, kerajaan baru yang tertubuh nanti benar-benar sebuah kerajaan Melayu dan Bumiputera yang meminggirkan hampir keseluruhan sokongan bukan Melayu, kecuali satu Ahli Parlimen MCA dan satu Ahli Parlimen MIC (tak termasuk Cameron Highlands).
Soalnya, realistikkah angan-angan Shahidan itu atau formula beliau sebenarnya terselindung kepentingan peribadi berkaitan kes yang sedang dihadapinya?
Adakah juga semua Ahli Parlimen Melayu dan Bumiputera sedia memberi sokongan kepada Tun Mahathir?
Dalam UMNO sendiri, apakah Ahli Parlimen seperti Najib Razak, Zahid Hamidi, Nazri Aziz dan lain-lain akan turut sedia memberikan sokongan?
Tetapi, di sebalik cadangan formula Shahidan untuk mewujudkan kerajaan Melayu dan Bumiputera saja dan memingkirkan kaum Cina dan India itu, ia sebetulnya amat merbahaya untuk sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia.
Cadangan beliau bukan saja terselit kepentingan peribadi, malah bersifat rasis dan mengundang bahaya yang besar menuju perpecahan serta ketidakharmonian dalam masyarakat negara ini.
Kecuali Tun Mahathir bukan lagi Tun Mahathir yang berjiwa Malaysia seperti yang kita kenali selama ini, rasanya boleh dikata mustahil cadangan Shahidan ini akan diterima positif oleh beliau.
Sebagaimana ketika berkuasa selama 22 tahun sebelum ini dan dalam kejayaannya menumbangkan UMNO dan BN dalam pilihanraya baru-baru ini, semuanya adalah kerana beliau tidak pernah meminggirkan sokongan daripada kaum bukan Melayu.
Bagi Tun Mahathir, tidak mengapa jika Melayu berpecah, tetapi beliau masih mampu mengekalkan kuasa atau menumbangkan kerajaan jika sokongan bukan Melayu secara majoriti masih berpihak kepadanya.
Oleh itu, selain perlu memberi cadangan lain yang lebih bernas untuk membawa UMNO kembali berkuasa atau untuk menyelamatkan dirinya, ada baiknya juga Shahidan bersiap sedia saja untuk berdepan perbicaraan mahkamah dalam kesnya yang dijadualkan pada awal tahun depan nanti. (ShahbudinHusin 27/12/2018)
Subscribe to:
Posts (Atom)





