SIAPA PEMECAHBELAH PARTI YANG AZMIN MAKSUDKAN ?



Saya merujuk kepada kenyataan Timbalan Presiden Keadilan, YB Dato' Seri Azmin Ali yang disebarkan melalui media hari ini yang telah mempertikaikan beberapa keputusan Presiden Keadilan, YB Dato' Seri Anwar Ibrahim di dalam melantik beberapa tokoh untuk menduduki jawatan penting di dalam parti.

Beliau menggesa Presiden untuk mengkaji semula perlantikan tersebut atas alasan 'tdak adil' dan ada tokoh yang dikaitkan dengan perpecahan dalam parti turut terpilih memegang jawatan penting. Siapakah yang beliau maksudkan? Adakah lawannya sewaktu pemilihan parti baru-baru ini iaitu Sdr Rafizi Ramli (Naib Presiden yang baru dilantik) atau YB Sdr @Saifudin Nasution (SUA yang dikekalkan) yang dimaksudkan sebagai pemecahbelah parti? Atau beliau melihat kesemua yang dilantik oleh Anwar itu sebagai punca perpecahan parti?

Sebagai seorang Timbalan Presiden, bahkan sebagai seorang Menteri Kanan kerajaan, Azmin tidak seharusnya membuat tuduhan rambang sedemikian rupa. Sekiranya beliau menganggap kerana jawatan beliau ditandingi baru-baru ini maka lawannya adalah pemecahbelah parti, maka tidak salah juga sekiranya ada yang menganggap Azmin juga terlibat di dalam perpecahan parti sekiranya benar terdapat perpecahan.

Hakikatnya, sebaik sahaja selesai pemilihan di dalam parti, tidak wujud perpecahan seperti yang digambarkan oleh Azmin. Sdr Rafizi sanggup mengalah meskipun beliau tahu beliau boleh menang besar sekiranya sistem E-Voting berjalan dengan baik tanpa dimanipulasikan. Beribu ahli di Cabang Julau telah bersedia untuk memberikan kemenangan selesa buat Rafizi sekiranya mereka dibenarkan mengundi tempohari. Namun, atas nasihat Anwar bagi mengelakkan kontroversi, Rafizi rela menerima kemenangan Azmin meskipun dengan jumlah undi yang tipis. Tindakan Rafizi ini adalah untuk mengelakkan perpecahan berlaku di dalam parti. Sudah tentu tidak masuk akal untuk mendakwa Rafizi sebagai punca perpecahan dan tidak layak dilantik sebagai Naib Presiden.

Tiga jawatan Naib Presiden lantikan itu sememangnya terletak di bawah kuasa Presiden. Begitu juga dengan perlantikan beberapa Ahli MPP yang diberi kuasa kepada Presiden untuk melantik selain dari yang telah dipertandingkan. Perlantikan SUA sememangnya hak Presiden kerana SUA mestilah seorang yang boleh dipercayai oleh Presiden untuk menjalankan tugasnya. Azmin sebenarnya tahu peraturan ini dan tidak wajar beliau mempertikaikannya sebagaimana orang lain tidak boleh mempertikaikan hak-haknya sewaktu beliau menjadi Pengerusi MPN Selangor dan juga MB Selangor sebelum ini.

Sewaktu beliau menjadi MB Selangor dahulu, banyak isu yang dipertikaikan seperti perlantikan Exco dan sikapnya yang terus mempertahankan Exco Pas di Selangor meskipun Pas secara resminya mengumumkan Keadilan, Dap dan Amanah adalah musuhnya. Mengapa Azmin tidak menggugurkan Exco-Exco Pas waktu itu? Jawapannya, itu adalah haknya sebagai MB. Apakah waktu itu beliau membuat keputusan secara bersama di dalam Pakatan Harapan di Selangor? Bahkan, sehingga PRU14 Selangor masih tidak dikatakan negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan. Tidakkah waktu itu beliau boleh dikatakan punca perpecahan di kalangan Pakatan Harapan di Selangor?

Itu belum lagi dikira berapa banyak keputusan Presiden parti yang waktu itu dipegang oleh YB Dato' Seri Wan Azizah dan keputusan Biro Politik yang gagal dipatuhi oleh beliau. Kegagalan beliau mendisiplinkan diri itu menyebabkan ahli-ahli menjadi keliru dan timbulnya berbagai pandangan yang bertentangan dengan kehendak parti. Bukankah sikapnya itu boleh menjadi punca perpecahan parti ?

Azmin tidak boleh menyamakan pandangannya terhadap seseorang dengan pandangan Presiden. Musuh Azmin di dalam politik tidak boleh dikatakan itu juga adalah musuh Anwar dan parti. Jika Azmin turun ke akar umbi dan di Cabang-Cabang, Azmin sendiri akan lihat betapa terdapatnya Ketua-Ketua Cabang yang menyokong beliau dahulu telah menggunakan kuasa dan hak mereka semaksima mungkin untuk melantik AJK-AJK dan Biro-Biro di Cabang dari kalangan penyokong mereka sendiri. Kami di Cabang redha dan akur dengan kuasa yang ada pada Ketua-Ketua Cabang. Mengapa Azmin tidak boleh akur dengan kuasa yang ada pada Presiden?

Saya masih ingat kata-kata dalam pidato Timbalan Presiden di Konvensyen Keadilan baru-baru ini di Shah Alam. Beliau mengungkapkan kata-kata penyatuan dan menyeru setiap ahli untuk melupakan soal pemilihan dan terus maju ke hadapan. Kata-kata itu begitu sejuk telinga mendengarnya sesejuk penghawa dingin di IDCC, Shah Alam.

WFAUZDIN NS




No comments: