Jalan ke depan bersama konsensus nasional – Mujahid Yusof
February 02, 2014
Proses perkembangan sesebuah negara bangsa memakan masa yang panjang.
Sepanjang perjalanannya, pelbagai peristiwa dan situasi terpaksa
dilaluinya sehingga ia mematangkan kepimpinan dan rakyatnya.
Konflik dan pertumpahan darah sesama anak bangsa mahupun peperangan
yang dilaluinya dengan penceroboh demi memelihara kedaulatan negara
adalah proses pembentukan jati diri negara bangsa.
Dalam menghayati perkembangan ini, negara terdesak untuk memperbaharui
komitmennya terhadap masa depan negara atau istilah patriotiknya
memelihara bahtera merdeka.
Untuk mencapai maksud ini satu konsensus atau kesepakatan dan
persetujuan bersama amat diperlukan supaya negara bangsa ini mara
mencipta nasibnya di persada alam. Ada beberapa faktor utama yang
menentukan kejayaan konsensus nasional yang amat diperlukan pada tahap
ini.
Artikel ini cuba menghuraikan beberapa pra-syarat dan faktor yang akan menjayakan konsensus nasional ini.
LATAR BELAKANG KEMERDEKAAN
Malaysia berbanding dengan negara bangsa lain secara relatifnya adalah
negara yang masih muda. Perkataan negara bangsa hanya muncul dengan
kemaraan kolonialisme Barat.
Serentak dengan tuntutan merdeka dari British, negara bangsa menjadi
tema kebangkitan rakyat dan Islam/Melayu menjadi asas kebangkitan
menyatukan negara bangsa yang kelak akan muncul apabila pada tahun 1957
Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya daripada penguasaan kolonial
British selama beberapa abad.
Faktor dan latar belakang yang membentuk kemerdekaan Malaysia amat
signifikan untuk semua pihak akur dan menerimanya sebelum bersetuju
untuk menjayakan cita-cita murni melonjakkan negara ini ke hadapan.
PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN
Konsensus mesti juga menghayati dokumen penting yang menentukan nasib
dan masa depan negara. Perlembagaan negara adalah faktor penyatu kepada
janji setia kita untuk memelihara negara melalui prinsip-prinsip yang
disepakati dan dijunjung bersama.
Perlembagaan Persekutuan meletakkan raison d'etre negara ini dengan
menamakan tiang utama negara yang tidak boleh dikompromi dalam apa jua
konsensus yang akan dilakukan iaitu;
1. Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
2. Agama lain bebas diamalkan mengikut semangat Perlembagaan.
3. Hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Raja-Raja Melayu.
4. Hak kewarganegaraan semua kaum dengan semangat kebebasan yang perlu dipertahankan bersama.
Perlembagaan persekutuan adalah faktor penyatu perpaduan nasional,
cumanya interpretasi dan pemahaman prinsip-prinsip keperlembagaan
kadangkala tergelincir daripada semangatnya dan kerana itu kebebasan
kehakiman perlu menentukan interpretasi yang betul kepada artikel dan
semangat yang memberikan “kehidupan” kepada perlembagaan kita.
SOSIO-EKONOMI
Kesan penjajahan telah meninggalkan kita menjadi negara multi-ethnic dan sekaligus multi-cultural.
Istilah “pendatang” atau “bangsa asing” walaupun sudah terhapus dengan
konsep kewarganegaraan, namun ia tetap dibibir sesetengah pihak apabila
sesuatu konflik antara kaum muncul dan ini boleh memberi gambaran betapa
rapuhnya situasi serta berupaya mencetuskan ketegangan.
Dalam konteks ekonomi, dasar ekonomi baru atau DEB membentuk pengagihan
kek ekonomi yang mengakibatkan strata masyarakat menampakkan jurang
antara penguasaan kaum Cina, Melayu dan India.
Perlaksanaan DEB walaupun semangat dan rohnya adalah pengimbanagan
strata dan penstrukturan semula jurang masyarakat namun amalannya telah
melahirkan sikap prejudis yang berbau perkauman.
Suasana sosio-ekonomi ini adalah antara faktor utama kepada sebab perlunya konsensus nasional nanti.
PERJALANAN POLITIK
Perlembagaan negara walaupun menjadi panduan tetapi ia kaku apabila tiada aktor yang mencabar kesahihannya dan keutuhannya.
Peranan aktor dalam membentuk lanskap politik negara adalah signifkan
kerana para aktor politik akan menentukan dan mendefiniskan maksud yang
terkandung dalam prinsip negara ini.
Malaysia memilih jalan demokrasi melalui pilihanraya umum yang
berperanan untuk membentuk anggota parlimen bagi membahas halatuju
negara lewat demokrasi ala Westminster di mana pembahagian kuasa
legaslatif, eksekutif dan kehakiman menjadi kerangka para aktor politik
bergerak.
Demokrasi adalah tema utama perjalanan politik dan ia mengambil
bahagian yang besar kepada desakan konsensus nasional hari ini kerana
ketempangannya hasil pencabulan ke atas demokrasi di Malaysia.
APAKAH KONSENSUS NASIONAL?
Konsensus adalah daripada perkataan Inggeris iaitu “concensus” yang
membawa makna agreement, harmony, concord, like mindedness, concurrence,
consent, common consent, accord, unison, unity, unanimity, oneness,
solidarity, concert more general opinion/view, majority opinion/view,
dan common opinion/view.
Daripada perkataan itu diambil maknanya dalam Bahasa Malaysia iaitu
persetujuan bersama, permuafakatan bersama, hala tuju bersama, pandangan
yang sama hampir dipersetujui oleh semua pihak.
Sebab itu ia adalah satu pendekatan politik tahap nasional bagi semua
pihak bersetuju tanpa mengira fahaman politik bahawa negara ini perlu
kepada satu kaedah baru, pendekatan baru bagi menangani situasi yang
sedang dihadapi hari ini di mana semua pihak perlu bersetuju untuk
memikirkan kaedah itu bersama.
Apa yang mewarnai lanskap politik daripada tuntutan demokrasi yang
lebih berfungsi, tuntutan kerajaan yang telus dan berwibawa serta
kemunculan suara sivil yang semakin lantang mengkritik dasar dan
perjalanan kerajaan adalah satu bentuk desakan kepada perlunya sebuah
konsensus nasional supaya kerajaan dan parti politik bersatu hati
mengeluarkan negara dari kemelut politik, sosial dan ekonomi hari ini.
PEMIKIRAN BARU PERPADUAN NASIONAL
Sekarang isu perpaduan tidak lagi berkisar kepada gabungan wadah
seperti di awal 70-an ketika negara ini memerlukan kekuatan politik
untuk menjayakan agenda nasional seperti pembentukan Barisan Nasional
tetapi perpaduan terkini bentuknya adalah lebih matang dapat
direalisasikan melalui kesatuan kepada kepentingan negara dengan cara
menguruskan perbezaan pendapat dan bukan menyekat perbezaan pendapat.
Untuk melaksanakan ini konsep by-partisan atau sokongan menjangkau
kelompok atau kumpulan perlu dibudayakan untuk mencapai sesuatu
kepentingan nasional.
Konsensus nasional menuntut supaya parti politik mengimbangi keperluan politiknya dengan keperluan nasional.
Ia bukan satu helah politik untuk mengekalkan kekuatan mana-mana pihak
tetapi ia adalah untuk memastikan kepentingan nasional terpelihara
dengan masing-masing mengekalkan ideologi masing-masing.
Isu perpaduan Melayu secara relatifnya kepada gambaran yang lebih besar
ini nampaknya seperti slogan yang agak kuno dan lebih cenderung untuk
helah politik semata-mata.
Perpaduan yang harus diajukan ialah perpaduan nasional dalam gambaran agenda nasional dan bukan agenda politik tertentu.
ISU KETAKSAMAAN PENDAPATAN
Isu ketaksamaan pendapatan atau “inequality income” tidak lagi berkisar
kepada kaum tetapi ia berkisar kepada peratus pengagihan pendapatan
yang kini terjulat antara peratus pendapatan tinggi dan peratus
pendapatan rendah di mana 60% rakyat duduk di paras pendapatan rendah
dan 40% daripadanya adalah paras kemiskinan.
Jurang besar pendapatan ini dikecilkan lagi dengan penduduk luar bandar dan penduduk bandar serta gender.
Implikasi isu ini menentukan gaya hidup dan keperluan hidup melibatkan
isu keperluan perumahan, bebanan hutang dan inflasi yang disebabkan
harga barang dan pendapatan yang tidak seimbang.
Ia bukan lagi soal Melayu ketinggalan tetapi keperluan untuk
mengimbangi kesan ketaksamaan pendapatan dan keperluan membela peratus
yang terperosok di bawah.
Faktor ini semakin mendesak kepada satu konsensus untuk menyelamatkan
keadaan kerana isu inflasi, kesan sosial dan ketidakpuasan hati rakyat
akan menjadikan negara ini terjerumus dalam krisis hilang kepercayaan
kepada kerajaan.
KEMUNCULAN EKSTREMISME POLITIK
Keseimbangan perkembangan negara mestilah dengan kematangan anak bangsanya untuk melihat kepentingan yang lebih besar.
Pelbagai isu perkauman, agama dan politik berpotensi menjadi isu yang
diambil kesempatan oleh pihak tertentu daripada kelompok ekstrem agama
mahupun ekstrem kepuakan.
Rasisme dalam segala bentuknya perlu disekat dan tidak menjadi umpan
pihak tertentu untuk menggunakannya apabila perlu untuk kepentingan puak
atau kelompoknya.
Suasana ini mendesak kita kepada konsensus nasional yang meletakkan
ekstremis politik dan agama jauh daripada menjadi faktor penentu
keputusan-keputusan politik.
Ambil contoh isu kalimah “Allah”, betapa politik ekstrem dan rasis
menguasai keadaan sehingga pihak kerajaan tidak berani menegaskan
komitmennya kepada “Penyelesaian 10 Perkara” atau sepuluh perkara yang
disepakati antara kerajaan dan penganut Kristian di negara dalam isu
penggunaan kalimah ‘Allah’ yang termeterai pada 2011.
Ini melambangkan kelemahan pihak kerajaan terhadap komitmennya sendiri
dan membiarkan tembakan rasis yang tidak terkawal membunuh cita-cita
perpaduan nasional yang dipupuk selama ini.
TAJUK YANG PERLU KONSENSUS
Tidak syak lagi, konsensus adalah satu keperluan negara bagi menjamin
perjalanan negara ini diteruskan, namun biarlah perbincangan kepada
konsensus ini terfokus kepada perkara besar dan penglibatannya tidak
meninggalkan mana-mana pihak di belakang.
Fokus utama adalah persetujuan semua pihak kepada perjalanan demokrasi
yang perlu dirungkai semula dalam konteks berpilihanraya dan demokrasi
berparlimen.
Kedua adalah merungkai semula hak mendapat maklumat dari segi akta
media yang perlu dibebaskan dari cengkaman penguasa dan kawalan yang
ketat untuk melahirkan media bebas dan bertanggungjawab.
Ketiga adalah konsensus kepada medan ekonomi mengawal ketaksamaan dan
inflasi melalui pendekatan progresif dan bukan regresif yang membebankan
rakyat serta mengubah tatakelola kewangan yang lemah dan dipalit
rasuah.
Keempat adalah menangani rasisme dan ekstremisme melalui kawalan ke
atas entiti rasis dan ekstremis melalui rundingan dan meletakkan
aktiviti mereka di bawah semangat perlembagaan persekutuan.
Hal ini juga melibatkan reformasi total kepolisian yang perlu
dikembalikan tujuan utama mereka iaitu untuk memelihara keselamatan
negara dan bukan memelihara parti politik tertentu atau pihak tertentu
untuk terus kekal berkuasa.
HARAPAN KEPADA KONSENSUS
Langkah awal konsensus bermula dengan pengiktirafan semua pihak kepada
masalah dan bersedia untuk mengenalpasti prioriti negara.
Langkah seterusnya ialah gencatan senjata fitnah media yang tidak
banyak membantu melicinkan proses dan seterusnya ialah memahamkan orang
ramai keperluan konsensus ini dijadikan agenda utama negara pada tahap
ini.
Selain itu parti-parti politik harus bersedia untuk membawa dirinya
dalam kerangka ini dengan mereka sendiri membuat reformasi dalaman tak
kira dari segi strukturnya, budayanya mahupun cara ia menyampaikan
hasratnya untuk menjadi kerajaan.
Konsensus akan menjadi satu mercu tanda bagi penunjuk aras bahawa
negara ini bersedia menyelesaikan kerumitan yang ia sedia hadapi dan
mampu mengakui segala kelemahan yang menyebabkan terbantut proses
pembentukan seterusnya bahtera merdeka yang sama-sama kita tatang.
Buat masa ini harapan kita semua ialah kepada terlaksananya langkah
awal dan mula tertumpu kepada empat fokus utama tajuk konsensus,
sudahkah rakyat Malaysia bersedia untuk memasuki fasa baru ini? – 1
Februari, 2014.
* Dr Mujahid Yusof Rawa ialah Ahli Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN).