
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 24 November 2026. Foto Parlimen Malaysia
KUALA LUMPUR, 24 Nov – Kerajaan tidak menyebarkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) yang diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia kepada umum, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri turut menafikan dokumen pengampunan bersyarat Najib Razak itu disebarkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menjelaskan perkara berkenaan ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata, AGC sebaliknya menyahklasifikasikan sebahagian dokumen berkaitan bekas Perdana Menteri itu sebagai persediaan menghadapi kes di mahkamah.
“Jadi siapa (menyebarkan dokumen terbabit) patut disiasat, jangan buat tohmahan mengatakan kerajaan edarkan.

“Tidak ada. Tidak benar kerana yang berlaku adalah keputusan Peguam Negara untuk mempersiapkan kes jawapan di mahkamah, itu sahaja,” katanya.
Anwar menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanya mengenai dakwaan kerajaan menyahklasifikasikan dokumen pengampunan bersyarat Najib dan mendedahkannya kepada umum.
Persoalan berkenaan boleh diajukan kepada pihak berkuasa sama ada siasatan boleh dilakukan atau sebaliknya.
No comments:
Post a Comment