Datuk Mahfuz Omar menyindir hubungan politik Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) selepas kemenangan mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sambil mencabar kedua-dua gabungan itu merasmikan pakatan politik mereka.
Naib Presiden AMANAH itu menyifatkan hubungan Umno dan Pas ketika ini ibarat pasangan yang kembali mendirikan rumah tangga selepas beberapa kali melalui episod nikah, cerai dan rujuk.
Menurutnya, kedua-dua pihak yang sebelum ini bermusuh, saling menyerang dan berebut pengaruh kini kembali bekerjasama kerana mempunyai musuh politik yang sama.
“BN dan PN sudah berwuduk bersama di peti undi Melaka. Tetapi kalau hubungan politik itu sudah sampai ke tahap bersekongkol untuk menewaskan PH, jangan sekadar berwuduk. Mandi wajiblah!

“Eloklah kena mandi wajib ibarat pasangan lepas berjimak dan bersihkan segala keraguan dengan mengisytiharkan secara rasmi pakatan politik baharu antara BN dengan PN!” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mahfuz berkata, BN dan PN tidak harus terus bermain tarik tali politik apabila berkongsi matlamat menewaskan Pakatan Harapan (PH) di Melaka, tetapi BN masih bersama Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.
Beliau mengibaratkan Umno sebagai tetamu yang masih makan dan tidur di rumah Kerajaan MADANI, tetapi pada masa sama berkomplot dengan jiran untuk merobohkan rumah yang didiaminya.
Beban keputusan
Mahfuz turut mempersoalkan kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyerahkan keputusan mengenai pembubaran, pemecatan atau penggantungan kepada Perdana Menteri.
“Sejak bila Perdana Menteri perlu membuat keputusan bagi pihak Umno? Bukankah Umno mempunyai Presiden, Majlis Tertinggi dan kepimpinan sendiri?” soalnya.
Menurutnya, Umno sendiri yang memilih untuk bekerjasama dengan Pas dan PN bagi menentang PH, justeru parti itu perlu berani menentukan kedudukannya tanpa meletakkan beban keputusan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mahfuz turut mencabar Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan seluruh kepimpinan parti itu supaya menunjukkan keberanian politik dengan membuat keputusan yang jelas.
“Menang di Melaka, jangan pula malu mengaku siapa kawan. Kalau sudah berpakatan, rasmi dan berterus teranglah.
“Jangan hanya berani berkahwin politik di negeri, tetapi masih mahu menyembunyikan hubungan di peringkat Persekutuan,” tempelak Mahfuz lagi.

No comments:
Post a Comment