Dulu Nik Aziz sokong Anwar jadi PM, kini Pas era Hadi semakin rapat dengan Zahid
Haluan politik Pas memperlihatkan perubahan ketara jika dibandingkan antara zaman Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan era kepimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini.
Ketika Nik Aziz masih menjadi Mursyidul Am Pas, beliau secara terbuka menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
Namun, lain pula halnya Pas hari ini apabila semakin erat menjalin kerjasama politik dengan Umno pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Perbezaan pendekatan kedua-dua tokoh itu sebenarnya sudah dapat dilihat sejak 2009 apabila Nik Aziz menentang keras cadangan pembentukan kerajaan perpaduan antara Pas dengan Umno yang dikemukakan Hadi.
“Kerajaan perpaduan ni tak usahlah, mengarut,” kata Nik Aziz ketika berucap dalam program ceramah perdana sempena Muktamar Pas di Stadium Malawati, Shah Alam pada Jun 2009.
Nik Aziz ketika itu mempertahankan kerjasama Pas bersama PKR dan DAP menerusi Pakatan Rakyat yang menjadi pesaing utama Barisan Nasional (BN).
Ulama tersohor
Pada 10 Februari 2013 pula, Nik Aziz sekali lagi tampil menafikan dakwaan bahawa Majlis Syura Ulama Pas mengadakan perbincangan untuk menolak Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Malah, pada 26 April tahun sama, Nik Aziz melancarkan kempen pengedaran risalah mengandungi surat terbuka ulama tersohor dunia, Sheikh Yusuf al-Qaradawi yang menyatakan sokongan terhadap Anwar sebagai calon Perdana Menteri.
Bagaimanapun, selepas pemergian Nik Aziz pada Februari 2015, landskap politik Pas berubah apabila Pakatan Rakyat berpecah, sebelum parti itu menjalinkan kerjasama rasmi dengan Umno menerusi pemeteraian piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019.
Perubahan itu diteruskan dengan penyertaan Pas dalam pentadbiran Perikatan Nasional (PN) pada 2020, sekali gus menyaksikan parti berkenaan berada dalam kerajaan bersama Umno.
Hubungan politik Pas dengan Umno kembali diperkukuhkan pada tahun ini menerusi kerjasama dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN), termasuk di Melaka.
Menjelang PRN Melaka, Hadi secara terbuka menyatakan kesediaan menerima BN sebagai peneraju pentadbiran negeri berkenaan, manakala kepimpinan Pas menjelaskan bahawa kerjasama itu kononnya berlandaskan agenda penyatuan ummah.
Zahid pula pada 24 Oktober lalu menyatakan bahawa kerjasama BN dengan Pas di Melaka mampu membuka laluan kepada kedua-dua pihak untuk menuju ke Putrajaya, meskipun Presiden Umno itu kemudiannya menegaskan BN kekal menyokong kerajaan Persekutuan pimpinan Anwar.
Jika pada zaman Nik Aziz, sokongan terhadap Anwar sebagai calon Perdana Menteri dinyatakan secara terbuka dan kerjasama dengan Umno ditentang, namun Pas hari ini tunggang-terbalik pendiriannya dalam pemilihan rakan politik serta pendekatan parti itu untuk memperoleh kuasa.
Menjelang PRU16, persoalan yang masih terbuka ialah sejauh mana kerjasama Pas dengan Umno akan diterjemahkan di peringkat Persekutuan, termasuk dalam soal pembahagian kerusi, dasar bersama dan pemilihan calon Perdana Menteri.

No comments:
Post a Comment