Menarik juga cerita Zahid Hamidi balik dari Turkiye baru-baru ini. Empat hari berada di sana sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, membawa nama negara untuk membincangkan pelbagai kerjasama termasuk ekonomi, pendidikan dan pertahanan.
Balik sahaja ke Malaysia, Zahid umum satu berita besar. Katanya, Turkiye bersetuju menerima 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia. Bukan setakat itu, pelarian ini juga dikatakan akan diberikan latihan TVET selama tiga hingga enam bulan sebelum berpeluang bekerja dalam sektor industri di Turkiye.
Cuma belum sempat rakyat hendak meraikannya, pihak Turkiye pula menafikan dakwaan mengenai persetujuan menerima 10,000 pelarian tersebut. Pejabat Zahid kemudiannya menjelaskan bahawa cadangan berkenaan masih dalam proses penyelarasan.
Tetapi kalau dilihat dari sudut generasi muda Malaysia, ada satu persoalan yang jauh lebih menarik.
Zahid, kenapa bukan 10,000 anak muda Malaysia yang dirundingkan untuk mendapat peluang latihan TVET di Turkiye?
Cuba bayangkan seorang graduan Gen Z yang baru tamat diploma kejuruteraan, mekatronik atau elektronik. Sudah bertahun belajar, sudah habis duit ibu bapa, tetapi masih tercari-cari peluang untuk mendapatkan pengalaman industri sebenar. Kalau dapat peluang menjalani latihan di Turkiye selama tiga hingga enam bulan, bukankah itu sesuatu yang sangat berharga?
Kenapa bukan 10,000 belia tempatan yang diberikan peluang menjalani latihan industri di sana? Kemudian mereka boleh bekerja sementara untuk menimba pengalaman sebelum pulang membawa kemahiran dan kepakaran baharu ke Malaysia.
Anak muda Gen Z hari ini bukan semuanya sibuk dengan TikTok, permainan video atau media sosial. Ramai yang sebenarnya berminat dengan teknologi tinggi, reka bentuk cip semikonduktor, robotik, dron, aeroangkasa dan kejuruteraan pertahanan. Mereka cuma perlukan peluang untuk membuktikan kemampuan.
Turkiye pula bukan negara yang kekurangan industri berteknologi tinggi. Mereka mempunyai kepakaran dalam pembuatan automotif, aeroangkasa, dron, elektronik, teknologi pertahanan dan pembinaan kapal perang. Banyak bidang yang boleh dipelajari oleh anak muda Malaysia.
Ambil contoh industri pembinaan kapal perang. Malaysia sendiri sedang mendapatkan tiga buah kapal Littoral Mission Ship Batch 2 untuk TLDM yang dibina di Istanbul Shipyard, Turkiye.
Bayangkan kalau Zahid berjaya merundingkan program latihan khas untuk anak muda Malaysia dalam industri pembinaan kapal tentera laut di sana. Graduan Gen Z kita boleh mempelajari teknologi pembuatan kapal, sistem elektronik marin, integrasi sistem persenjataan dan pelbagai kemahiran kejuruteraan yang bernilai tinggi.
Lebih menarik kalau sebahagian daripada mereka diberikan peluang menjalani latihan industri bersama syarikat yang terlibat dalam projek kapal TLDM itu sendiri. Selesai latihan, mereka pulang dengan pengalaman sebenar yang boleh membantu membangunkan industri pertahanan maritim Malaysia.
Itu baru satu sektor. Belum lagi bidang aeroangkasa, automasi industri, teknologi dron dan pembuatan komponen berketepatan tinggi.
Bayangkan seorang anak muda Malaysia berusia 23 tahun pulang dari Turkiye dengan pengalaman bekerja dalam industri dron atau pembinaan kapal perang. Pada usia semuda itu, dia sudah mempunyai kemahiran industri antarabangsa yang boleh dimanfaatkan oleh syarikat tempatan. Bukankah itu pelaburan yang jauh lebih bermakna untuk masa depan negara?
Sebab itu generasi muda berhak bertanya, dalam lawatan empat hari Zahid ke Turkiye, sejauh mana peluang latihan dan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk belia Malaysia turut dirundingkan? Adakah terdapat sebarang sasaran penempatan yang boleh diumumkan kepada rakyat?
Bukan bermakna kita menolak usaha kemanusiaan membantu pelarian Rohingya. Mereka juga manusia yang berhak mendapat perlindungan dan kehidupan lebih baik. Tetapi sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Zahid juga mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan anak muda negara sendiri mendapat manfaat daripada hubungan antarabangsa yang dibina.
Lebih-lebih lagi apabila Zahid turut memegang tanggungjawab dalam pembangunan TVET negara. Sepatutnya peluang kerjasama antarabangsa seperti ini dimanfaatkan untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir Malaysia.
Generasi Z hari ini bakal mewarisi ekonomi negara dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang. Mereka yang akan menggerakkan kilang semikonduktor, membangunkan teknologi pertahanan, membina kapal, mereka bentuk sistem elektronik dan bersaing dengan tenaga mahir dari seluruh dunia.
Jadi jangan sekadar bercakap tentang masa depan Gen Z dalam seminar, persidangan dan majlis pelancaran TVET. Anak muda mahukan peluang sebenar, bukan sekadar slogan.
Kita bukan minta sesuatu yang mustahil. Kita cuma mahu tahu sama ada peluang yang sama telah diusahakan untuk belia tempatan, dan kalau sudah, berapa ramai yang bakal mendapat manfaat.
Kalau boleh dibincangkan satu cadangan latihan TVET untuk 10,000 pelarian Rohingya di Turkiye, mengapa tidak kita letakkan sasaran yang sama untuk 10,000 anak muda Malaysia?
Jangan sampai generasi muda melihat kerajaan begitu ghairah mengumumkan peluang untuk orang lain, sedangkan mereka sendiri masih tertanya-tanya di mana peluang untuk membina masa depan.
Akhirnya persoalannya mudah sahaja.
Zahid, you pergi Turkiye sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Jadi apa sebenarnya hasil yang anak muda Malaysia, khususnya Gen Z, boleh banggakan daripada lawatan itu?
Sebab bagi Gen Z, masa depan bukan sekadar tentang siapa yang menjadi menteri hari ini. Tetapi peluang apa yang pemimpin hari ini sedang bina untuk kehidupan mereka esok.
- NadiDaily
#GenZ #TVET #Rohingya

No comments:
Post a Comment