BN beralih kepada PN, Mat Sabu persoal masih bolehkah PH terus bekerjasama?

FOTO BERITA: Ucapan Penggulungan Presiden AMANAH Datuk Seri Mohamad Sabu sempena Konvensyen Nasional 2026 Parti AMANAH Nasional di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, Selangor. 22hb November 2026 (Ahad)

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu mempersoalkan sama ada Pakatan Harapan (PH) masih boleh meneruskan kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) susulan perkembangan politik dalam pilihan raya negeri di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Beliau berkata, AMANAH sebelum ini memberikan komitmen penuh membantu calon BN dalam beberapa pilihan raya kecil atas semangat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, menurutnya, tindakan BN menjalin kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri menimbulkan persoalan mengenai hala tuju hubungan politik antara parti-parti berkenaan.

“Tiba-tiba mereka mulai khianat di Johor, khianat di Negeri Sembilan, khianat di Melaka. Saya tak tahulah, bolehkah duduk satu kelambu lagi?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Presiden sempena Konvensyen Nasional AMANAH 2026 di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam, hari ini.

Mohamad turut membangkitkan kekeliruan dalam kalangan pengundi apabila parti-parti yang berada dalam kerajaan yang sama bertanding sesama sendiri dalam pilihan raya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan pengundi sukar membezakan parti yang sepatutnya diberikan sokongan, khususnya apabila calon daripada parti berbeza menggunakan pencapaian kerajaan yang sama sebagai bahan kempen.

“Adakah kekeliruan ini ahli-ahli konvensyen bersetuju berterusan sehingga bubar Parlimen?” soalnya.

SENTIMEN PENGUNDI LEBIH PENTING DARIPADA WANG
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad mengingatkan pimpinan dan jentera AMANAH bahawa kekuatan kewangan bukan jaminan kemenangan dalam pilihan raya.

Beliau mengambil contoh kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum 2018 ketika gabungan itu mempunyai sumber kewangan dan jentera yang besar.

“BN kalah masa dia duit paling banyak. Waktu itulah kita kalahkan mereka,” katanya.

Menurutnya, wang, poster, pengenalan calon lebih awal dan kekuatan jentera tetap penting, namun persepsi serta sentimen pengundi memainkan peranan yang lebih besar dalam menentukan keputusan pilihan raya.

Beliau turut mengambil contoh kekalahan calon yang rajin mendekati masyarakat serta bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, yang menurutnya mempunyai rekod perkhidmatan dan pendekatan kepimpinan tersendiri.

Katanya, keadaan itu menunjukkan kerja kebajikan dan kehadiran pemimpin dalam masyarakat belum tentu diterjemahkan kepada sokongan di peti undi sekiranya sentimen pengundi tidak berubah.

JANGAN BIARKAN UNDANG-UNDANG JADI DUA DARJAT
Mohamad turut menggesa AMANAH menghidupkan kembali perjuangan menentang rasuah, penyalahgunaan kuasa dan amalan undang-undang dua darjat.

Beliau melahirkan kebimbangan sekiranya individu yang mempunyai kekayaan berbilion ringgit akhirnya mampu menggunakan pengaruh kewangan untuk mendapatkan layanan berbeza dalam sistem perundangan.

Menurutnya, usaha membetulkan sistem negara perlu digerakkan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan masyarakat sivil.

Beliau turut menyebut peranan gerakan seperti Bersih dalam memperjuangkan pembaharuan institusi dan sistem negara.

Katanya, AMANAH tidak seharusnya hanya memberikan tumpuan kepada pilihan raya sehingga mengabaikan perjuangan menegakkan keadilan untuk seluruh rakyat.

PROJEK KERAJAAN BUKAN UNTUK AHLI PARTI SAHAJA
Dalam ucapannya, Mohamad turut menegaskan bahawa bantuan dan projek kerajaan mesti diberikan berdasarkan kebolehan serta potensi penerima, bukannya keahlian politik.

Beliau berkata, individu yang berjaya mengembangkan projek penternakan atau pertanian wajar diberikan peluang mendapatkan bantuan susulan walaupun bukan penyokong AMANAH.

Sebaliknya, katanya, ahli parti yang gagal mengurus bantuan pertama tidak sepatutnya menerima bantuan tambahan secara automatik.

“Walaupun dia bukan daripada parti kita, kita nampak dia berusaha, ada bakat. Orang macam ini kita akan cuba bantu,” katanya.

Mohamad menegaskan bahawa dana kerajaan merupakan wang rakyat yang perlu diurus secara bertanggungjawab dan tidak boleh diagihkan semata-mata atas pertimbangan kepartian.

AMANAH PERLU PERKUKUH PEMIKIRAN DAN PERJUANGAN RAHMAH
Presiden AMANAH itu turut mengingatkan ahli supaya memperkukuh penguasaan ilmu, memahami perkembangan politik antarabangsa dan menolak sentimen perkauman serta keagamaan yang memecahbelahkan masyarakat.

Beliau mengambil contoh perkembangan politik di Amerika Syarikat dan Eropah yang menurutnya memperlihatkan kepentingan pendekatan kemanusiaan dalam membina sokongan merentas kaum dan agama.

Katanya, perjuangan Islam sebagai rahmatan lil alamin perlu diterjemahkan melalui hubungan baik, keadilan dan penghormatan terhadap semua manusia.

Mohamad turut menggesa ahli AMANAH memperluas jaringan dengan gerakan kemanusiaan antarabangsa, termasuk kelompok Kristian dan Yahudi yang menentang penindasan terhadap rakyat Palestin.

Beliau berkata, perjuangan membela Palestin tidak boleh dibataskan kepada umat Islam semata-mata kerana ia turut melibatkan soal hak asasi dan kemanusiaan sejagat.

KEKALAHAN BUKAN ALASAN UNTUK BERHENTI BERJUANG
Mengulas prestasi AMANAH dalam pilihan raya negeri, Mohamad mengingatkan pimpinan dan ahli supaya tidak menjadikan kekalahan sebagai alasan untuk mengurangkan komitmen terhadap parti.

Beliau berkata, pemimpin perlu turun menemui rakyat, memperbanyak program dan bekerja bersungguh-sungguh sebelum menyerahkan hasil perjuangan kepada ketentuan Allah.

Mohamad turut berkongsi pengalamannya menghadiri tujuh hingga lapan program sehari walaupun sudah berusia 72 tahun.

Katanya, golongan muda khususnya tidak sepatutnya berputus asa hanya kerana mengalami kekalahan dalam pilihan raya.

Beliau turut mengingatkan ahli bahawa perbezaan pandangan dan persaingan dalaman tidak boleh mengatasi tanggungjawab memperkukuh organisasi.
Pada akhir ucapannya, Mohamad menyatakan keyakinan bahawa perkembangan politik negara masih boleh berubah sebagaimana yang pernah berlaku menjelang PRU 2018.
Beliau turut menyuarakan harapan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengambil langkah yang lebih berani dalam menghadapi perubahan landskap politik negara dengan sokongan rakan-rakan dalam PH.
Ucapan itu diakhiri dengan penegasan Mohamad mengenai komitmennya terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim serta perjuangan AMANAH menjelang pilihan raya umum akan datang.
No comments:
Post a Comment