
Bagaimana Pas mahu ‘bersilat’ dengan Umno apabila Ahmad Zahid secara terbuka mahu mengembalikan GST sekiranya BN-PN mentadbir Putrajaya? Foto Ahmad Mursi
KUALA LUMPUR, 22 Nov – Menarik juga kenyataan Zahid Hamidi apabila BN berjanji mahu mengembalikan GST sekiranya menang PRU16. Tetapi yang lebih menarik sebenarnya bukan soal GST itu baik atau buruk. Bukan juga soal sama ada GST lebih sesuai berbanding SST.
Yang menarik ialah bagaimana nanti ulama-ulama politik PAS mahu berdepan dengan isu ini. Maklumlah, dahulu ketika GST diperkenalkan oleh kerajaan Najib, bukan main hebat lagi mereka menentang. Siap dibawa dalil agama untuk menggambarkan GST sebagai cukai yang haram dan zalim.
Sekarang BN mahu hidupkan semula GST. Jadi kita tunggu. Adakah GST masih haram seperti dahulu? Atau nanti akan muncul pula macam-macam dalil agama untuk menjelaskan bahawa GST sebenarnya harus, dibolehkan atas dasar maslahat, malah mungkin dianggap perlu demi kepentingan negara?
Inilah perangai politik yang rakyat patut perhatikan. Bukan kerana hukum agama boleh berubah sesuka hati, tetapi kerana ada ahli politik yang begitu mudah menggunakan hukum agama untuk memenangkan hujah mereka. Ketika sesuatu dasar datang daripada musuh politik, bukan main keras hukum yang dikeluarkan. Tetapi apabila dasar yang sama datang daripada pihak yang berpotensi menjadi kawan, tiba-tiba banyak pula ruang untuk berkompromi.
PAS dan UMNO pernah bermusuhan, kemudian berpelukan atas nama Muafakat Nasional. Selepas itu berpisah pula. Dalam politik Malaysia, siapa boleh jamin mereka tidak akan kembali bersama? Kalau esok lusa PAS dan BN berpakat semula, kita mahu tengok bagaimana ulama-ulama PAS menjelaskan pendirian mereka tentang GST.
Sebab itulah masalahnya apabila agama terlalu kerap dijadikan alat politik. Apa sahaja yang menguntungkan parti boleh dicari kewajarannya. Yang dahulu ditentang boleh dipertimbangkan semula. Yang dahulu dikatakan zalim boleh menjadi maslahat. Yang dahulu dihukum dengan begitu keras, tiba-tiba boleh dibincangkan dengan penuh kelembutan.
Lebih menarik, semuanya sering dibungkus dengan alasan mahu memenangkan Islam. Tetapi apabila disebut memenangkan Islam, adakah benar-benar Islam yang mahu dimenangkan atau sebenarnya PAS? Seolah-olah kemenangan parti itu sendiri sudah dianggap kemenangan agama. Maka apa sahaja percaturan politik boleh diberikan wajah perjuangan Islam.
Sedangkan Islam bukan milik PAS. Hukum agama juga bukan alat yang boleh dipusing mengikut siapa sedang berkawan dengan siapa. Kalau sesuatu perkara benar-benar haram berdasarkan dalil yang kukuh, ia tidak tiba-tiba menjadi halal hanya kerana orang yang memperjuangkannya sudah bertukar daripada musuh kepada sahabat.
Kita tidak menolak bahawa sesuatu hukum atau dasar boleh dinilai semula apabila keadaan dan maslahat berubah. Itu memang sebahagian daripada perbahasan fiqh. Tetapi perubahan tersebut mesti dijelaskan dengan hujah yang konsisten, bukan sekadar kebetulan berubah apabila percaturan politik turut berubah.
Sebab itu kita tunggu sahaja. Kita mahu lihat sama ada ulama-ulama politik PAS akan mempertahankan pendirian dahulu atau mula berbelit-belit lidah mencari alasan baharu. Kalau benar ada perubahan hukum, bentangkan dalilnya. Jelaskan apa yang berubah. Jangan sampai rakyat melihat seolah-olah hukum agama pun boleh bertukar mengikut musim pilihan raya.
Akhirnya, yang sedang diuji bukan GST semata-mata. Yang sedang diuji ialah kejujuran mereka yang selama ini begitu mudah membawa nama agama dalam pertarungan politik.
Jangan sampai rakyat mendapat gambaran bahawa dalam politik PAS, yang menentukan halal atau haram bukan lagi prinsip agama, tetapi siapa yang sedang menjadi kawan dan siapa yang sedang menjadi lawan.
Kerana Islam tidak pernah memerlukan PAS untuk menjadi benar. Sebaliknya PAS yang perlu membuktikan bahawa perjuangan politik mereka benar-benar berpandukan Islam, bukan menggunakan Islam untuk membenarkan segala percaturan politik mereka.
Oleh Ahmad Mursi



No comments:
Post a Comment