
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 6 Oktober 2026. Foto Parlimen Malaysia
KUALA LUMPUR, 6 Okt – Isu penghantaran pulang membabitkan warga Myanmar antara topik perbahasan di Dewan Rakyat susulan soalan daripada Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang dijawab Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini, Anwar mengesahkan bahawa setakat ini, tiada pelarian etnik Rohingya yang dihantar pulang ke Myanmar dalam kalangan 10,000 warga Myanmar yang dihantar pulang ke negara asal mereka.
Ini kerana, menerusi perjanjian penghantaran pulang secara sukarela dan tanpa paksaan, mereka yang dihantar pulang bukan mengikut faktor etnik, sama ada dari Rakhine, Karen atau Shan, mahupun Rohingya.

“Dalam rekod yang kita kesan setakat ini, belum ada rakyat Rohingya yang dibawa pulang tapi ini masih lagi dalam perbincangan.
“Saya percaya Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) dan saya, ketika bertemu dengan Presiden, Min Aung Hlaing dalam beberapa hari ini, akan juga bangkitkan isu ini supaya dapat ditangani dengan sebaik mungkin.
“Bagi saya, mana-mana negara yang ingin bawa pulang rakyat mereka dari negara kita, itu kita alu-alukan,” katanya.

Anwar turut menjawab persoalan Suhaizan mengenai pelan penghantaran pulang warganegara itu selepas mengadakan rundingan dengan kerajaan negara itu melibatkan beberapa kementerian dan agensi kerajaan.
No comments:
Post a Comment