JAHAT SUNGGUH MANUSIA MACAM NI. KERAJAAN BIARKAN LAGI.



 Yang BODOH dan BAGHAL tu Tam RJebat. Dari Parti mana ni ? 

KES INDONESIA, KERAJAAN MALAYSIA PULA YANG BAGHAL?






(1)

Saya sebenarnya terdiam apabila membaca hantaran Tam RJebat ini. Bukan kerana hujahnya terlalu hebat sehingga sukar dijawab, tetapi kerana saya cuba memahami bagaimana seseorang boleh menulis dengan begitu yakin, lalu menghukum pentadbiran Kerajaan Malaysia sebagai 'GAGAL lagi baghal', sedangkan kes yang dijadikan sandaran itu berlaku di Indonesia. 


Muhammad Hasbi Al Aqib yang disebut dalam hantaran tersebut bukan murid sekolah di Johor, Selangor, Kedah atau mana-mana negeri di Malaysia. Kes itu dilaporkan berlaku di Pemalang, Jawa Tengah, Indonesia. 


Jadi, saya tertanya-tanya, siapakah sebenarnya yang 'baghal' dalam cerita ini?


Jawapannya Tam RJebat. Mungkin inilah hasil Pendidikan zaman 60 tahun sebelum Kerajaan ni mentadbir. 


(2)

Lebih mengelirukan apabila hantaran itu dimulakan dengan menyebut tragedi Irene Sofea di Yong Peng, kemudian disambungkan pula dengan kisah Muhammad Hasbi Al Aqib tanpa menjelaskan bahawa kedua-duanya berlaku di dua buah negara yang berbeza. 


Pembaca yang sekadar lalu di Facebook tentu mudah mendapat gambaran seolah-olah satu lagi tragedi murid baru sahaja berlaku dalam sistem pendidikan Malaysia. Selepas emosi pembaca berjaya dibangkitkan, terus dilemparkan kesimpulan bahawa semua ini ialah 'bahana dan hasil pentadbiran kerajaan sekarang'. 


Beginilah maklumat yang tidak lengkap boleh membentuk persepsi yang salah, kemudian persepsi itu pula dijual sebagai kebenaran.


(3)

Saya tidak tahu sama ada penulis hantaran itu tidak sempat menyemak, malas menyemak atau terlalu ghairah mahu menyerang kerajaan sehingga terlupa untuk menyemak. Apa-apa pun sebabnya, perkara paling asas dalam budaya ilmu ialah tabayyun. Semak sebelum percaya, periksa sebelum berkongsi dan fahami sebelum membuat kesimpulan. 


Lebih-lebih lagi apabila kita mahu menggunakan sesuatu tragedi untuk menghukum sebuah kerajaan. Dalam dunia hari ini, untuk mengetahui lokasi sesuatu kejadian, kita tidak perlu membuka ensiklopedia setebal seribu halaman. Beberapa minit melakukan carian sudah memadai untuk mengetahui bahawa kes tersebut berlaku di Indonesia.


(4)

Inilah sebenarnya penyakit yang lebih membimbangkan daripada perbezaan politik. Malaysia sedang berhadapan dengan satu generasi muda yang sedang mencari hala tuju dalam dunia yang sangat kompleks. 


Mereka dihujani ribuan maklumat setiap hari melalui TikTok, Facebook, Instagram, Threads dan pelbagai platform lain. Dalam keadaan sebegini, orang dewasa sepatutnya menunjukkan contoh bagaimana sesuatu maklumat dinilai dengan ilmu dan kewarasan. 


Malangnya, muncul pula satu spesies manusia yang bukan sahaja enggan mencari ilmu, malah bersungguh-sungguh menyediakan dirinya untuk menjadi bodoh, kemudian membodohkan orang lain. Lebih berbahaya apabila kebodohan itu dibungkus dengan keyakinan sehingga orang lain turut mempercayainya.


(5)

Sebab itu, pendidikan hari ini tidak boleh sekadar mengajar anak-anak kita membaca, menulis dan menjawab peperiksaan. Pendidikan mesti membina manusia yang mampu berfikir, menilai sumber, membezakan fakta daripada persepsi dan tidak mudah menjadi mangsa manipulasi. 


Orang berpendidikan tidak sepatutnya membaca sesuatu yang sesuai dengan kecenderungan politiknya, lalu terus menekan butang 'kongsi'. Kalau berita itu menghentam kerajaan yang dibencinya, semuanya dianggap benar. Kalau berita itu memuji pihak yang disokongnya, semuanya diterima tanpa soal. 


Ini bukan budaya ilmu. Ini budaya membabi buta yang akhirnya melahirkan masyarakat yang mudah dipermainkan.


(6)

Saya tidak pernah mengatakan bahawa kerajaan tidak boleh dikritik. Kritiklah kerajaan sekeras-kerasnya kalau ada fakta. Kritik Menteri Pendidikan kalau ada kelemahan yang boleh dibuktikan. Kritik KPM kalau dasar tidak berfungsi. Kritik sekolah kalau berlaku kecuaian. 


Demokrasi memang memerlukan semak dan imbang. Namun, kalau mahu menghentam Kerajaan Malaysia, gunakanlah fakta mengenai Malaysia. Kalau mahu menghentam KPM, gunakan data dan kes yang berada di bawah bidang kuasa KPM. 


Jangan tragedi di Jawa Tengah, Indonesia, dibawa masuk ke Facebook Malaysia, kemudian dijadikan bukti bahawa pentadbiran Kerajaan Malaysia gagal. Itu bukan kritikan yang cerdas. Itu kecuaian intelektual yang sangat memalukan.


(7)

Lebih menyedihkan, di sebalik semua ini ada seorang kanak-kanak yang telah meninggal dunia dan sebuah keluarga yang kehilangan insan tersayang. Kes tersebut sendiri masih memerlukan proses siasatan untuk menentukan apa sebenarnya yang berlaku, termasuk kaitan antara dakwaan kekerasan dengan kematian mangsa. 


Namun, di Malaysia, tragedi itu sudah dipinjam untuk membangkitkan kemarahan politik. Inilah yang berlaku apabila politik mengatasi kemanusiaan. Kita tidak lagi membaca untuk memahami sesuatu tragedi, sebaliknya mencari tragedi yang boleh digunakan untuk mengesahkan kebencian yang sudah lama bersarang dalam kepala.


(8)

Saya paling bimbang apabila budaya sebegini meresap dalam kalangan pengundi muda. Mereka inilah yang akan menentukan kerajaan dalam pilihan raya akan datang dan mereka jugalah yang suatu hari nanti akan memimpin negara.


 Bayangkan kalau keputusan politik sebuah generasi dibentuk melalui hantaran yang tidak diperiksa faktanya, video beberapa saat yang dipotong konteksnya dan propaganda yang sengaja memainkan emosi. 


Demokrasi akhirnya tidak lagi menjadi pertandingan idea, dasar dan prestasi, sebaliknya berubah menjadi pertandingan tentang siapa yang paling berjaya membangkitkan kemarahan rakyat. Kalau rakyat boleh diyakinkan bahawa kejadian di Indonesia ialah bukti kegagalan Kerajaan Malaysia, kita sebenarnya sedang berhadapan dengan masalah literasi maklumat yang sangat serius.


(9)

Malaysia tidak akan lingkup hanya kerana ada pembangkang. Malaysia juga tidak akan lingkup hanya kerana kerajaan dikritik. Pembangkang yang baik diperlukan dalam sebuah demokrasi, malah kerajaan yang kuat juga memerlukan kritikan yang kuat. 


Namun, negara boleh rosak apabila rakyat dibiasakan dengan politik yang malas berfikir, tidak peduli akan fakta dan hanya hidup daripada kebencian. Hari ini mungkin sekadar salah negara. Esok mungkin salah angka. Lusa mungkin fitnah terhadap seseorang. 


Lama-kelamaan, masyarakat sudah tidak peduli lagi sama ada sesuatu itu benar atau palsu. Yang penting, cerita itu sedap didengar dan sesuai dengan pihak yang mahu mereka benci.


(10)

Sebab itu, jangan kita benarkan sesiapa membodohkan rakyat Malaysia, sama ada orang itu penyokong kerajaan ataupun pembangkang. Budaya ilmu tidak mempunyai warna parti. 


Kalau benar, kita terima. Kalau salah, kita betulkan. Kalau belum pasti, kita semak. Semudah itu disiplin seorang manusia yang mahu menggunakan akalnya. 


Dalam kes ini, faktanya cukup mudah: kes Muhammad Hasbi Al Aqib berlaku di Pemalang, Jawa Tengah, Indonesia, bukannya satu lagi kes yang berlaku di sekolah Malaysia. Maka, sebelum terlalu ghairah mahu menuduh kerajaan hari ini 'GAGAL lagi baghal', periksa dahulu fakta yang berada di depan mata. 


Jangan sampai kita sibuk menuduh sebuah kerajaan bodoh mengurus negara, sedangkan kita sendiri gagal melakukan perkara paling asas yang diajar oleh pendidikan, iaitu membaca, mencari, menyemak dan berfikir.


Sekian. 


Mohd Fadhli Othman






No comments: