Menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah atas perkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke 75 di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Putrajaya pada pagi ini.
Dalam titah perutusan, Baginda mengingatkan betapa prinsip dan budaya syura perlu menjadi suluh, dan adab mesti menjadi kemudi dalam mengurus perbezaan pandangan, khususnya dalam kalangan umat Islam. Ketika pendapat bersilang dan suara meninggi, kejernihan pertimbangan serta kesantunan budi mesti teguh memimpin peribadi dan perwatakan diri.
Saya telah meminta pihak JAKIM untuk menghadam dan menyebarluas titah Tuanku ini untuk dihayati oleh segenap peringkat masyarakat. Titah ini ialah nasihat berharga buat kami semua dalam pimpinan kerajaan, partai-partai politik, badan dakwah dan masyarakat seluruhnya.
Amanahnya perlu hidup dalam tutur dan tindakan, bermusyawarah dengan lapang dada, menegur dengan hikmah, serta mendengar dengan rendah hati. Tidak berhujah sambil merobek tenunan ukhuwah dan tidak berbeza jalan hingga meruntuhkan jambatan persaudaraan, Insya-Allah.
#YakinMADANI













No comments:
Post a Comment