ANTHONY LOKE PILIH LETAK JAWATAN, PAS PILIH SAMBUT PENGAMPUNAN NAJIB




Kadang-kadang politik Malaysia ni memang pelik. Isunya sama, orangnya sama, tetapi pendirian boleh jauh berbeza.


Anthony Loke sudah menyerahkan sendiri surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri pada 28 September. Anwar minta beliau terus menjalankan tugas buat sementara waktu, tetapi Loke menetapkan satu garis jelas: apabila Najib pulang ke rumah untuk menjalani tahanan rumah, peletakan jawatannya berkuat kuasa.


Ini bukan keputusan yang muncul semalam. Sejak 19 September lagi DAP sudah memutuskan Loke akan berundur daripada Kabinet sebagai respons parti terhadap pengampunan bersyarat Najib. Ketika di China beberapa hari kemudian pun dia ulang perkara sama — keputusan sudah dibuat. 


Maksudnya mudah. Kalau Loke mahu jaga jawatan, dia boleh sahaja diam dan terus duduk dalam Kabinet. Tetapi dia memilih jawatannya sendiri sebagai tanda bantahan terhadap keputusan yang dibuat terhadap Najib.


PAS pula ambil pendirian yang sangat berbeza. Takiyuddin Hassan secara terbuka menyambut baik pengampunan bersyarat Najib, mendoakan kesihatannya dan berkata Najib masih boleh menyumbangkan idea, pandangan serta pengalaman kepada negara. 


Sedangkan Najib bukan sedang menunggu keputusan mahkamah dalam kes SRC. Sabitan beliau telah melalui Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan akhirnya Mahkamah Persekutuan. Pengampunan bersyarat sekarang membolehkan beliau menjalani baki hukuman di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada denda RM50 juta dan syarat yang ditetapkan.


Jadi sekarang senang nak tengok kontrasnya. Seorang pemimpin memilih untuk keluar Kabinet kerana tidak bersetuju dengan perkembangan itu. Sebuah parti lain pula memilih untuk menyambut baik perkembangan yang sama.


Dalam politik, rakyat bukan sahaja dengar apa yang kita kata tentang rasuah atas pentas. Rakyat tengok juga bagaimana kita bertindak apabila kes sebenar berada depan mata.


PH pula menyatakan pendirian bahawa agenda melawan rasuah akan diteruskan, sementara menteri dan timbalan menteri DAP lain kekal dalam kerajaan atas alasan menjaga kestabilan pentadbiran. Jadi tindakan Loke dibuat sebagai pendirian peribadi dan parti terhadap isu Najib, bukannya keputusan DAP meninggalkan kerajaan. 


Sebab itu tak perlu sangat gaduh siapa paling kuat bercakap soal moral dan integriti. Rekod tindakan masing-masing sudah ada: Loke memilih letak jawatan, PAS memilih menyambut pengampunan. Rakyat boleh baca, banding dan nilai sendiri.


#ahmadmursi





No comments: