PM Anwar Arah Selaras, Perkukuh Penguat Kuasaan Kos Sara Hidup Antara Agensi

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bil 2/2026 pada 29 September 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 29 Sep – Penyelarasan antara agensi mesti diperkukuhkan supaya tindakan penguatkuasaan kawalan harga barangan asas termasuk membanteras pencatutan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Arahan tersebut disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) hari ini dengan tumpuan diberikan kepada cadangan inisiatif dan langkah segera bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat menjelang pembentangan Belanjawan 2027.

Katanya, beliau juga meneliti perkembangan penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam mengawal harga barangan asas dan membanteras pencatutan di seluruh negara, menurut hantaran di media sosial hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bil 2/2026 pada 29 September 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Saya arahkan supaya penyelarasan antara agensi diperkukuh supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan geopolitik dunia dan kesannya terhadap harga serta bekalan keperluan asas agar sebarang tekanan terhadap kos sara hidup rakyat dapat ditangani dengan segera dan berkesan,” ujar Anwar.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; beberapa menteri kabinet serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bil 2/2026 pada 29 September 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Pada malam ambang merdeka lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan enam ikhtiar bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat termasuk mengembalikan kelayakan asas Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, membolehkan lebih 16 juta pengguna menikmati RON95 bersubsidi.

Pada masa sama, lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak akan menikmati Budi Diesel hingga 400 liter sebulan.

Turut diumumkan adalah peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi 2027 akan ditingkatkan sebanyak 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion, meliputi semua aliran termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bil 2/2026 pada 29 September 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Antara lain, Anwar turut mengumumkan ikhtiar melibatkan Program Kecerdasan Buatan (AI) untuk Rakyat yang dibuka kepada anak muda Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun, dengan 100,000 belia yang melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan aplikasi AI secara percuma selama tiga bulan.

Perdana Menteri juga mengumumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menyediakan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam, termasuk pelaksanaan sistem Rekod Kesihatan Elektronik (EMR) serta ketersambungan Internet di 150 hospital dan lebih 2,000 klinik kesihatan awam.

Kerajaan juga bersetuju menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun, sekali gus mengecualikan perniagaan dengan jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta daripada kewajipan melaksanakannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata NACCOL juga membincangkan secara terperinci beberapa perkara berkaitan kos sara hidup rakyat khususnya isu harga dan ketersediaan bekalan beras dalam negara. Foto Instagram Anwar Ibrahim

Selain itu, kemudahan pembiayaan mikro juga ditambah sebanyak RM1 bilion menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.

Kerajaan juga memperkenalkan Geran Sejahtera Madani RM200 juta untuk membantu penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam serta ibu yang berniaga dari rumah.




No comments: