Aset bernilai RM 1.4 bilion hasil menabung dari kecil.

 







Aset bernilai RM 1.4 bilion hasil menabung dari kecil.

*******
KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor hanya akan mengetahui sama ada Mahkamah Tinggi bakal membekukan aset bernilai AS$346 juta (RM1.4 bilion) pada 7 Januari tahun hadapan.
Ini kerana dia perlu menunggu pelupusan saman dikemukakan terhadapnya oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan 10 syarikat lain.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Muhammad Adam @ Edward Abdullah menetapkan tarikh itu hari ini bagi mendengar dan memutuskan permohonan plaintif (1MDB) mendapatkan injunksi Mareva terhadap Rosmah.
Tarikh itu ditetapkan semasa pengurusan kes yang dihadiri oleh peguam Rosmah, Sheena Stephanie Sebastian, dan peguam Henna Nikita Sanghvi yang mewakili 1MDB.
Dalam kes ini, plaintif sedang berusaha untuk menghalang Rosmah daripada berurusan dengan aset bernilai sehingga AS$346 juta (RM1.4 bilion), termasuk tunai, saham syarikat, hartanah dan aset-aset lain.
Permohonan itu adalah sebahagian daripada tuntutan mahkamah berhubung barangan mewah bernilai lebih AS$346 juta (RM1.4 bilion), yang didakwa oleh plaintif diperoleh menggunakan dana 1MDB diselewengkan.
Saman itu difailkan pada 9 Mei 2024 oleh 1MDB dan 10 syarikat lain termasuk lima anak syarikatnya iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited dan SRC International Sdn Bhd.
Plaintif-plaintif lain ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.
Plaintif memohon perintah mahkamah untuk mengarahkan isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu membayar AS$346,010,489 (RM1.4 bilion) atau sebarang jumlah lain yang dianggap wajar oleh mahkamah.
Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa enam plaintif pertama adalah pemilik sah barangan mewah yang didakwa berada dalam simpanan Rosmah.
Saman ini pada mulanya difailkan terhadap Rosmah dan seorang warga Singapura, Shabnam Naraindas Daswani.
Bagaimanapun, plaintif menarik balik tuntutan mereka terhadap Shabnam pada April 2025.
Pada 9 Julai, mahkamah yang sama menetapkan Jun tahun depan untuk mendengar kes itu.






No comments: