
Usah pinggirkan jentera tempatan yang akhirnya bertindak merajuk di bilik gerakan dan memaksa parti bergantung kepada pelancong politik yang hanya tahu merakam gambar sebagai bukti kerja.
PENDAPAT, 3 Ogos – Siri kekalahan pilihan raya yang berlaku secara berturut turut di negeri Sabah, Johor dan terbaharu di Negeri Sembilan seharusnya menjadi loceng amaran yang sangat kuat dan menyedarkan seluruh kepimpinan blok reformasi.
Bagi golongan pengundi bandar serta pihak minoriti yang selama ini meletakkan sepenuh kepercayaan dan harapan tinggi merangkumi sebahagian besar sokongan padu keputusan pilihan raya, ini bukan sekadar satu tamparan biasa Ia bahkan diterjemahkan oleh sebahagian rakyat sebagai satu bentuk pengkhianatan yang amat menyakitkan terhadap harapan besar yang dipertaruhkan.
Apabila parti-parti dalam blok reformasi terlalu lama mengelak daripada membuat keputusan yang sukar atas alasan mahu menjaga kestabilan gabungan asas, sokongan mula retak dan runtuh dari bahagian dalam.

Hakikat yang perlu diterima dengan berani ialah puncanya jauh lebih mendalam daripada apa yang kelihatan di permukaan. Ia bermula daripada kebergantungan melampau pada taktik kempen politik yang sudah lapuk sehinggalah kepada kelesuan nyata dalam menyantuni khidmat serta keperluan rakyat di peringkat akar umbi.
Politik moden menuntut perubahan pantas tetapi sebahagian pemimpin masih terperangkap dalam zon selesa mereka tanpa menyedari bahawa angin perubahan sedang bertiup kencang merentasi pelbagai lapisan masyarakat yang dahagakan pembaharuan sejati dan tadbir urus yang telus tanpa sebarang kompromi.
Perangkap Ceramah Besar dan Jurang Realiti
Gaya kempen pilihan raya kita pada hari ini masih kelihatan terperangkap dengan kukuh dalam acuan politik masa lalu. Tidak dapat dinafikan bahawa formula ceramah mega pernah menjadi senjata ampuh yang melakar sejarah penting landskap politik negara pada suatu masa dahulu.

Namun, formula ceramah yang diulang ulang dengan pantun berseloroh serta konvoi bermotor kini sudah hilang tarikan dan menjadi tawar di hati rakyat. Barisan pemimpin serta menteri kerap hadir ke pentas ceramah dengan skrip yang serupa mengeji pihak lawan sambil melaungkan agenda nasional yang terlalu besar.
Tanpa penguasaan akar umbi yang kukuh calon terpaksa bergantung sepenuhnya kepada naratif makro ini Malangnya apabila berhadapan dengan gelombang sentimen kaum dan agama yang dimainkan oleh pihak sebelah sana hujah tadbir urus yang baik tenggelam begitu sahaja.
Ceramah besar akhirnya hanya menjadi ruang gema slogan semata mata dan gagal menggantikan sentuhan manusiawi secara bersemuka di lapangan.
Kepentingan Khidmat Tempatan dan Penolakan Calon Luar
Walaupun agenda makro adalah penting untuk hala tuju negara isu isu remeh temeh di peringkat tempatan sebenarnya jauh lebih dekat di hati rakyat marhaen.
Pengundi hari ini amat teliti dan bijak menilai mereka melihat siapa yang rajin turun padang menguruskan urusan kematian menyantuni majlis keramaian menghidupkan program komuniti serta menyelesaikan masalah infrastruktur asas seperti longkang tersumbat dan jalan rosak.
Amalan meletakkan calon payung terjun yang langsung tidak mengenali kariah setempat wajib dihentikan serta merta. Tindakan ini hanya meminggirkan jentera tempatan yang akhirnya bertindak merajuk di bilik gerakan dan memaksa parti bergantung kepada pelancong politik yang hanya tahu merakam gambar sebagai bukti kerja.
Sebaliknya calon tempatan membawa faktor kebiasaan yang jauh lebih berkesan untuk merentasi batasan parti.
Manipulasi Identiti dan Sisa Feudalisme
Landskap politik negara kita kian dicemari oleh amalan manipulasi identiti yang sempit. Apabila isu perkauman dijadikan perisai ampuh untuk menutup kelemahan dasar dan sentimen agama digunakan sewenang wenangnya bagi menangkis kritikan kebenaran mula menjadi tumpul.
Tidak dapat dinafikan sebahagian masyarakat masih mudah terpedaya dengan retorik emosi berbanding hujah rasional yang dibawa oleh pakar ekonomi.
Mentaliti feudalisme era lampau masih menebal di mana taksub kepada lambang atau retorik sempit lebih diagungkan berbanding usaha pembangunan ekonomi yang mampan demi kesejahteraan jangka panjang
Ancaman Dalaman Budaya Pimpinan Hiasan
Cabaran terbesar yang dihadapi oleh agenda reformasi bukan sahaja datang daripada pihak lawan di sebelah sana tetapi turut berpunca daripada kerosakan yang berlaku dalam struktur dalaman parti sendiri.
Perbalahan fraksi yang berterusan keangkuhan pemimpin tertentu dan penyingkiran individu berwibawa telah melemahkan sinergi jentera secara keseluruhan.
Apabila jentera yang bekerja keras dikesampingkan manakala jawatan dihadiahkan kepada golongan tukun ikan yakni pimpinan hiasan yang memegang pelbagai gelaran tetapi membisu seribu bahasa di lapangan keyakinan rakyat pasti terjejas. Parti politik tidak boleh kekal sebagai ruang gema yang tuli kepada suara bawahan.
Melangkah ke Hadapan dengan Integriti
Tempoh enam hingga dua belas bulan ke hadapan adalah fasa yang sangat kritikal untuk mengubah landskap ini Antara langkah utama yang wajib diberi tumpuan merangkumi usaha menterjemahkan kemasukan pelaburan asing kepada peluang pekerjaan nyata untuk anak tempatan.
Ia termasuk menghentikan pelaksanaan dasar yang merumitkan kos sara hidup rakyat membanteras sebaran berita palsu serta elemen hasutan secara tegas serta menampilkan keberanian politik untuk menilai semula ketelusan kes berprofil tinggi.
Sudah tiba masanya arena politik kembali kepada mandat asal bersaing atas dasar kecekapan menghormati kepelbajukan dan berkhidmat dengan integriti mutlak demi rakyat.
Berhenti menuding jari dan mula melakukan reformasi sebenar.
Oleh Lai Chen Heng


No comments:
Post a Comment