Faris Arifin.
Mereka mahu kita berdebat tentang istilah: RAV atau MFRS? Insolven atau tidak? Audit bersih dengan Emphasis of Matter atau sebaliknya?
Tetapi rakyat berhak bertanya soalan yang jauh lebih nyata:
Jika semuanya baik-baik sahaja, bagaimana tujuh daripada 14 pelaburan Tabung Haji boleh dihapus kira 100 peratus, berjumlah RM2.581 bilion?
Angka-angka ini mewakili amanah pendeposit, guru, pesara, petani, peniaga kecil dan penjawat awam yang menyimpan kerana percaya Tabung Haji ialah institusi kepentingan awam, dengan jaminan kerajaan, diwujudkan untuk memudahkan urusan ibadah dan bukan menjadi medan eksperimen pelaburan berisiko tinggi tanpa tatakelola serta semak imbang yang “airtight”.
Tujuh pelaburan yang dilaporkan dihapus kira 100% dan berjumlah RM2.581 bilion:
1. Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co Ltd, RM1.864 bilion
2. Trurich Resources Sdn Bhd, RM364.31 juta
3. Putrajaya Perdana Bhd, RM193.49 juta
4. Alfareeda Residential Fund, RM82.00 juta
5. Abraj Sdn Bhd, RM40.23 juta
6. Emrail Sdn Bhd, RM19.30 juta
7. Wellspring Worldwide Ltd, RM18.00 juta
Tujuh lagi pelaburan yang turut dikenal pasti RCI untuk audit forensik:
1. PT TH Indo Plantations
2. Deru Semangat Sdn Bhd
3. TH Plantations Bhd
4. TH Properties Sdn Bhd
5. Alam Maritim Resources Bhd / TH Marine
6. TH Hotel & Residences Sdn Bhd
7. FGV Bhd
Tiga kes terbesar sahaja, Al-Rawda, Trurich dan Putrajaya Perdana, menyumbang kira-kira RM2.42 bilion, iaitu hampir 94% daripada kerugian penuh tujuh pelaburan tersebut.
RCI merekodkan bahawa 14 pelaburan ini melibatkan kerugian dan kesan kewangan sekitar RM13 bilion. Tidak semua dihapus kira 100 peratus. Tetapi kesemuanya cukup serius untuk menuntut audit forensik yang bebas, telus dan menyeluruh.
Ada yang berkata Tabung Haji “masih mampu membayar hutang”. Ada yang berkata audit dibuat mengikut prosedur. Ada yang mahu rakyat percaya bahawa perbezaan berbilion ringgit hanyalah soal metodologi.
Ini yang dipermainkan sebagai “red herring fallacy” untuk mengalihkan rakyat daripada isu pokok skandal Tabung Haji.
Harus dijelaskan bahawa perdebatan mengenai metodologi tidak dapat mengembalikan RM2.581 bilion yang telah hangus menjadi sifar.
Istilah teknikal tidak dapat menghidupkan semula pelaburan yang telah dihapus kira sepenuhnya.
Dan Laporan Audit dengan “Emphasis of Matter” oleh JAN tidak boleh dijadikan selimut untuk menutup persoalan paling asas:
Bilakah tanda-tanda kerugian diketahui?
Siapa yang meluluskan transaksi?
Siapa yang menilai risiko?
Siapa yang gagal bertindak?
Dan mengapa pendeposit hanya diminta percaya setelah kerugian berlaku?
RCI Tabung Haji penting bukan kerana kita mahu menjatuhkan hukuman melalui media sosial. Ia penting kerana sebuah institusi amanah awam tidak boleh berdiri atas hubungan, pengaruh atau alasan teknikal yang dipetik secara terpisah.
Ia mesti berdiri atas kebenaran.
Atas rekod yang lengkap.
Atas audit yang bebas.
Atas pentadbiran yang boleh dipertanggungjawabkan.
Atas prinsip bahawa setiap ringgit pendeposit mesti dijaga lebih ketat daripada ringgit milik sendiri.
Sebab itu RCI tidak boleh dipadamkan dengan “political spin”. Ia mesti diteruskan hingga ke hujung:
* Audit forensik terhadap 14 pelaburan.
* Pendedahan penuh tentang punca, kelulusan dan aliran dana.
* Tindakan undang-undang jika bukti menyokongnya.
* Penambahbaikan tadbir urus supaya pengkhianatan amanah ini tidak berulang.
Tabung Haji bukan milik mana-mana pentadbiran.
Bukan milik mana-mana parti.
Bukan milik mana-mana tokoh yang mahu mempertahankan legasi sendiri.
Tabung Haji milik pendeposit. Milik umat Islam. Milik negara.
Dan apabila tujuh pelaburan boleh hangus 100 peratus, tuntutan untuk kebenaran bukan serangan politik.
Ia ialah tuntutan amanah seluruh rakyat Malaysia.

No comments:
Post a Comment