Angka tak boleh menipu: Rekod Aminuddin jadi taruhan PH

 


Pakatan Harapan (PH) mempertahankan rekod pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dengan menyifatkan prestasi ekonomi dan kewangan Negeri Sembilan sepanjang lapan tahun lalu sebagai bukti kerajaan negeri berjaya mentadbir secara berkesan.

PH berkata penilaian terhadap sesebuah kerajaan tidak seharusnya dibuat berdasarkan ceramah politik semata-mata, sebaliknya perlu berpandukan kepada pencapaian yang boleh diukur menerusi data ekonomi, kedudukan kewangan negeri dan manfaat yang diterima rakyat.

Menurut gabungan itu, di bawah pentadbiran Aminuddin, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Sembilan meningkat kepada RM59 bilion, sekali gus mencerminkan pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih kukuh.

Pada masa sama, hasil kerajaan negeri dilaporkan meningkat kepada RM785 juta, manakala lebihan hasil mencecah RM203 juta, sekali gus menunjukkan pengurusan fiskal yang lebih berdisiplin.

PH turut mendakwa nilai pelaburan yang berjaya dibawa masuk ke Negeri Sembilan meningkat kepada RM19 bilion, sementara rizab kewangan negeri kini mencecah RM1 bilion.

Selain itu, kerajaan negeri juga berjaya mengurangkan hutang, di samping memberi bonus sehingga tiga bulan kepada penjawat awam negeri.

Menurut PH, pencapaian itu memperlihatkan perbezaan yang ketara berbanding pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Dalam tempoh Aminuddin memimpin, negeri bukan sahaja mencatat pertumbuhan ekonomi, malah kedudukan kewangan kerajaan diperkukuh, pelaburan meningkat dan kebajikan penjawat awam turut diberi perhatian.

“Ini membuktikan beliau bukan sekadar mentadbir, tetapi mengurus negeri secara cekap, berdisiplin dan menghasilkan manfaat yang boleh dirasai rakyat,” menurut kenyataan itu.

PH menjadikan rekod pentadbiran kerajaan negeri sebagai antara kekuatan utama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, dengan menegaskan kesinambungan pentadbiran diperlukan bagi meneruskan agenda pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri.




No comments: