Alhamdulillah, saya dapat bertemu dengan tetamu istimewa Al-’Allamah Syeikh Dr. Mustafa An-Nadwi Al-Hasani, ulama nadir asal Mansurah, Mesir dan merupakan salah seorang murid kanan Syeikh Abul Hasan Ali al-Nadwi di Putrajaya hari ini.
Syeikh Dr. Mustafa dikenali kerana peribadi yang menenangkan, seorang ilmuwan yang menekankan persoalan akhlak, hikmah dan kedalaman ilmu khususnya bidang hadis. Pada zaman yang sering mengangkat sensasi mengatasi ilmu, tokoh seperti Syeikh Dr Mustafa menawarkan kita teladan, mengingatkan kita bahawa ilmu dan hikmah hadir bagai embun di waktu subuh diam, lembut, tetapi menghidupkan alam.
Kami bertukar pandangan mengenai hal ehwal semasa serta majlis Ilmu yang melibatkan Syeikh Dr. Mustafa sepanjang berada di Malaysia minggu ini.
Saya zahirkan penghargaan Syeikh Dr. Mustafa atas nasihat serta doa agar Malaysia terus memelihara perpaduan dan membina kemakmuran dalam keberkatan. Kami doakan semoga Allah SWT terus memelihara Syeikh Dr. Mustafa An-Nadwi Al-Hasani, memberkati ilmu dan amalnya, serta terus menyambung mata rantai ulama yang membentuk umat dengan kebijaksanaan, kesederhanaan dan kasih sayang.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. [Riwayat Muslim (4867)]





No comments:
Post a Comment