Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya siasatan mendapati wujud unsur rasuah atau penyelewengan dalam pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), termasuk kes kerugian RM160 juta membabitkan syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.
Anwar berkata, walaupun laporan awal tidak menunjukkan petunjuk berlakunya rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetap perlu menyiasat keseluruhan proses pelaburan bagi memastikan setiap keputusan dibuat mengikut tatakelola yang betul.
“Saya ingin tekankan kita tidak boleh bertolak ansur sekiranya terdapat penyelewengan ataupun rasuah.
“Saya telah menemui pengurusan KWAP untuk menyatakan mereka mesti memberi kerjasama sepenuhnya. Walaupun melihat laporan awal, saya tidak percaya ada unsur-unsur begitu,” katanya ketika menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda di Dewan Negara hari ini.
Menurut beliau, siasatan perlu meliputi keseluruhan proses termasuk penilaian panel pelaburan serta keputusan yang akhirnya diluluskan oleh lembaga pengarah KWAP.
Mengulas kerugian RM160 juta dalam pelaburan eFishery, Anwar berkata insiden itu berpunca daripada penipuan korporat bertaraf antarabangsa yang turut memperdaya beberapa firma pelaburan terbesar dunia.
Katanya, syarikat pelaburan antarabangsa seperti SoftBank, Temasek, Northstar, 42X Fund dan Aqua-Spark turut mengalami kerugian, malah jumlah pelaburan mereka jauh lebih besar berbanding KWAP.
“Penipuan ini sangat canggih sehingga tiga firma audit terbesar dunia turut meluluskan penyata syarikat tersebut.
“Ini menjadi pengajaran bahawa walaupun sesuatu pelaburan disahkan oleh firma audit bertaraf dunia, ia masih tidak menjamin bebas daripada penipuan,” katanya.
Beliau berkata, pelaburan sememangnya mempunyai risiko tertentu dan kejadian itu perlu dijadikan iktibar untuk memperkukuh proses semakan, tadbir urus serta pemantauan terhadap semua keputusan pelaburan pada masa hadapan.
Pada masa sama, Anwar meminta orang ramai tidak menilai prestasi KWAP hanya berdasarkan satu kerugian tersebut.
Sebaliknya, beliau berkata prestasi keseluruhan KWAP kekal kukuh apabila dana persaraan itu mencatat keuntungan bersih RM12.9 bilion dengan pertumbuhan dana sebanyak 9.3 peratus hasil pengurusan pelaburan yang berkesan.
Menurutnya, rekod itu menunjukkan asas kewangan KWAP masih kukuh, namun kerajaan tetap berpendirian bahawa setiap pelaburan yang menimbulkan persoalan akan disemak secara teliti bagi memastikan kepentingan pencarum dan integriti institusi sentiasa terpelihara.
No comments:
Post a Comment