Pakatan Harapan (PH) akan mempertaruhkan kesinambungan pembangunan sebagai teras utama kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan apabila melancarkan manifesto gabungan itu malam ini.
Ketua Pengarah Bilik Gerakan PH Negeri Sembilan, Datuk Muhammad Zaki Md Sabri berkata manifesto berkenaan dirangka dengan memberi penekanan kepada usaha meneruskan agenda pembangunan serta kemakmuran yang dinikmati negeri itu sejak PH mengambil alih pentadbiran pada 2018.
Menurutnya, dokumen manifesto itu telah diperhalusi secara menyeluruh oleh kepimpinan tertinggi gabungan bagi memastikan setiap komitmen yang ditawarkan mampu memberi impak ekonomi dan sosial yang mampan kepada rakyat.
“Insya-Allah, manifesto akan dilancarkan malam ini. Sekretariat PH akan memaklumkan perincian mengenai lokasi dan kehadiran pimpinan.
“Manifesto akan memberi penekanan terhadap kesinambungan kejayaan serta kemajuan negeri ini seperti yang dijanjikan,” katanya pada sidang media di Seremban .
Mengulas perjalanan kempen yang memasuki hari kedua, Muhammad Zaki berkata jentera PH beroperasi dengan lancar, khususnya dari segi logistik, selain menerima maklum balas yang menggalakkan daripada pengundi di kawasan yang dikunjungi.
Beliau pada masa sama menyeru semua parti yang bertanding agar mengekalkan kempen secara matang dan berhemah tanpa mencetuskan provokasi melampau atau memainkan isu melibatkan institusi diraja, agama dan kaum (3R).
Katanya, persaingan sihat akan memberi ruang kepada rakyat menilai tawaran setiap parti berdasarkan dasar dan rekod pentadbiran, bukannya retorik yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 1 Ogos sebagai hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan ke-16, manakala pengundian awal berlangsung pada 28 Julai.
PRN itu diadakan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lalu. Seramai 889,490 pengundi berdaftar layak mengundi, terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera dan pasangan, serta 5,455 anggota polis.
No comments:
Post a Comment