JANGAN PANDANG ENTENG BILA RAFIZI MULA KEMBALI KE JALANAN



16 February 2026


Semalam berlangsung demonstrasi Tangkap Azam Baki di depan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur.


Melalui demonstrasi aman itu menyaksikan kembalinya semula Rafizi Ramli kepada aksi jalanan semula setelah sekian lama beliau tidak berbuat demikian.


Sebelum ini, Rafizi dikenali sebagai juara demonstrasi jalan  dan beliau memang mempunyai kepakaran membina narafif dan menghuraikan sesuatu isu dalam bahasa yang mudah difahami.


Dalam kemunculannya semalam bagi tujuan mendesak Azam Baki digantung tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM serta dibentuk badan siasatan bebas dan telus untuk menyiasat isu pemilikan saham dan dakwaan “mafia korporat” terhadap SPRM, ternampak Rafizi masih sama seperti Rafizi yang dahulu.


Bahasa, cara penyampaian, penggunaan ayat dan perkataan, melontarkan isi serta menembak sasaran – semuanya memperlihatkan Rafizi tetap ada tarikan yang sama.


Dengan ancamannya untuk menganjurkan lebih banyak demo awan selagi Azam Baki tidak direhatkan dan sebuah badan siasatan bebas tidak dibentuk, tidak mengejutkan jika demonsrasi selepas ini menerima kebanjiran hadirin yang lebih melimpah lagi.


Apalagi Bersih, selain turut serta dalam demonstrasi semalam, badan pemantau pilihanraya itu juga telah memberi komitmen menggerakkan demo Bersih 6 bersama-sama Rafizi selepas ini.


Jika itu berlaku, tentunya selepas beberapa isi demo kecil-kecilan diadakan terlebih dahulu, sejarah demonstrasi sebelum kejatuhan Najib Razak dahulu pasti berulang kembali.


Kepada yang tidak berkesempatan mengikuti ucapan Rafizi dalam Demonstrasi Tangkap Azam Baki 2.0 semalam, ia boleh ditonton di sini – https://youtu.be/Pop7Zu7swmA?si=2bFoRMMRU6e7oLt-


Apa pun pro dan kontra pandangan berkaitan demo semalam, kerajaan dan Perdana Menteri tidak harus menandang mudah kemunculan semula Rafizi dalam aksi jalanan ini.


Ia harus diberi perhatian dan sebaiknya cuba diselesaikan dalam kadar waktu yang tidak terlalu lama sebelum nasi menjadi bubur dan sebelum lebih ramai rakyat ikut serta dan sebelum blok pembangkang, tidak terkecuali DAP akan ikut serta dalam demo tersebut.


Beberapa pemimpin DAP sudah pun bersuara melalui kenyataan media yang senada dengan tuntutan Rafizi berkaitan isu Azam Baki.


Sebab itu, jangan pandang enteng dengan Rafizi.


Lagi pun, tuntutan yang diminta – gantung tugas Azam Baki dan wujudkan badan siasatan bebas serta telus – perkara itu juga adalah tuntutan banyak pihak sebelum ini, termasuk DAP, parti yang mempunyai paling kerusi dalam PH.


Orang awam sendiri, jika diperhalusi dalam perbualan di merata-rata, itulah juga keinginan mereka.


Lebih daripada itu, Anwar sendiri pada tahun 2022, sebelum bergelar Perdana Menteri, juga pernah mendesak Azam Baki digantung tugas dalam isu berkaitan pemilikan saham yang dikatakan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM itu digunakan oleh adiknya.


Jika sewaktu bergelar Ketua Pembangkang, Anwar bersama pimpinan PH lain boleh mendesak Azam Baki direhatkan, sepatutnya setelah ada kuasa sebagai Perdana Menteri, perkara itu lagi mudah untuk dilakukannya.


Merehatkan atau menggantung tugas Azam Baki adalah demi kepentingan negara dan menjaga nama baik SPRM dan Anwar tidak harus terlepas pandang hakikat itu.


Dalam waktu yang sama, keputusan kerajaan mengarahkan badan siasatan yang diketuai Peguam Negara yang turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan untuk menyiasat Azam Baki dalam keadaan Ketua Pesuruhjaya SPRM itu tidak digantung tugas, ia hanya akan menimbulkan lebih banyak keraguan dan ketidakyakinan awam.


Realitinya semua mereka itu, sama ada yang menyiasat atau disiasat, adalah sesama pegawai tinggi kerajaan yang barangkali sebelum ini pernah main golf bersama-sama.


Sebab itu, tuntutan yang diminta ialah badan siasatan bebas itu harus diketuai bekas Ketua Hakim Negara serta dianggotai beberapa personaliti berwibawa yang berkhidmat cemerlang kepada negara sebelum ini.


Jika Anwar sedia melakukan apa yang dituntut – gantung tugas Azam Baki dan wujudkan badan siasatan bebas, semua keributan politik yang ada sekarang ini akan selesai dengan sendirinya.


Rafizi pun tiada alasan untuk terus berdemo di jalanan lagi. – ShahbudinHusin 16Februari2026.


https://shahbudindotcom.net/2026/02/bila-rafizi-kembali-ke-jalanan-kerajaan-jangan-bersikap-enteng/



No comments: