PERSAMAAN



 Ramai yang mungkin tidak menyedari bahawa 𝘁𝗲𝗿𝗱𝗮𝗽𝗮𝘁 𝗽𝗲𝗿𝘀𝗮𝗺𝗮𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗹𝗮𝗺 𝗺𝗮𝗻𝗶𝗳𝗲𝘀𝘁𝗼 𝗣𝗮𝗸𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗿𝗮𝗽𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗕𝗮𝗿𝗶𝘀𝗮𝗻 𝗡𝗮𝘀𝗶𝗼𝗻𝗮𝗹 𝗯𝗲𝗿𝗸𝗮𝗶𝘁𝗮𝗻 𝗰𝗮𝗱𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗽𝗲𝗹𝗮𝗻𝘁𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗞𝗲𝘁𝘂𝗮 𝗣𝗲𝘀𝘂𝗿𝘂𝗵𝗷𝗮𝘆𝗮 𝗦𝘂𝗿𝘂𝗵𝗮𝗻𝗷𝗮𝘆𝗮 𝗣𝗲𝗻𝗰𝗲𝗴𝗮𝗵𝗮𝗻 𝗥𝗮𝘀𝘂𝗮𝗵 𝗠𝗮𝗹𝗮𝘆𝘀𝗶𝗮 (𝗦𝗣𝗥𝗠).







Dalam hangatnya perdebatan isu #TangkapAzamBaki, wajar kita berhenti seketika dan meneliti fakta penting mengenai mekanisme pelantikan jawatan tertinggi agensi tersebut secara lebih objektif dan merujuk manifesto parti utama Kerajaan Perpaduan.


Menariknya isu ini, kedua-duanya (PH dan BN) pernah berjanji untuk memperkukuh peranan Parlimen dalam proses pelantikan, termasuk melalui saringan Jawatankuasa Pilihan Khas. Wujud titik persamaan dalam komitmen PH dan BN untuk melibatkan Parlimen sebagai mekanisme semakan, sekali gus memperkukuh ketelusan dan fungsi semak imbang terhadap kuasa eksekutif.


Dalam manifesto Pakatan Harapan, reformasi institusi ditekankan melalui komitmen memperkasa SPRM serta memperkukuh mekanisme semak dan imbang, termasuk cadangan peranan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dalam proses saringan pelantikan jawatan utama.


Sementara itu, manifesto Barisan Nasional PRU15 turut menyatakan komitmen agar pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM melalui proses yang melibatkan Parlimen, sebagai langkah meningkatkan kecekapan dan prestasi institusi awam serta tadbir urus negara.


Hari ini, kedua-dua gabungan berada dalam Kerajaan Perpaduan. Secara matematik politik, inilah peluang terbaik untuk menterjemahkan kesepakatan tersebut kepada pindaan undang-undang.


Apabila dua gabungan parti utama memerintah menyatakan komitmen yang hampir serupa dalam dokumen manifesto rasmi mereka, ruang untuk melaksanakan reformasi sebenarnya sudah tersedia.


Perkara yang diperlukan kini ialah tekad politik untuk menterjemahkan janji kepada dasar, demi memperkukuh keyakinan rakyat terhadap integriti institusi awam dan tadbir urus negara.


Tq Ubaidillah Harith Shahrin




No comments: