HAJI HADI PENGERUSI BARU PN?
18 February 2026
Sebagaimana dimaklumkan oleh Takiyuddin Hasan, PN akan mengadakan mesyuarat MT luar biasanya pada Ahad, 22 Februari ini.
https://shahbudindotcom.net/2026/02/haji-hadi-pengerusi-baru-pn/
Penolong Setiausaha Agung PN itu berkata, mesyuarat akan diadakan pada jam 3.00 petang di Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur.
Dua agenda utama ditetapkan untuk mesyuarat berkenaan iaitu pertama, mengesahkan perletakan jawatan Muhyiddin Yassin dan kedua, melantik Pengerusi PN yang baru.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS seterusnya berkata, Pengerusi PN yang baru bagi menggantikan Muhyiddin adalah daripada PAS.
Tegasnya, perkara itu sudah dipersetujui oleh kesemua empat parti komponen PN.
“Kita sudah bersetuju untuk terajui PN, pengerusi yang baru adalah daripada PAS.
“Malah, perkara ini juga sudah dipersetujui parti komponen lain dalam PN.
“Sebelum ini memang ada mengatakan terdapat parti yang tidak bersetuju untuk PAS menjadi Pengerusi PN, namun perkara itu sudah diselesaikan dan ia berbangkit apabila semua parti akhirnya bersetuju dengan pelantikan pengerusi daripada PAS,” katanya lagi.
Ertinya, tiada lagi perebutan antara parti-parti dalam PN untuk menerajui gabungan itu dan tidak berbangkit juga kemungkinan Muhyiddin kembali menerajui gabungan tersebut.
Pengerusi baru PN selepas mesyuarat pada Ahad ini ialah daripada PAS.
Cuma, siapakah pemimpin PAS yang akan dinamakan sebagai Pengerusi PN itu?
Sebelum ini beberapa telah disebut, selain Haji Hadi Awang, nama lain yang turut disebut ialah Tuan Ibrahim Tun Man, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Sanusi Mohd Nor.
Namun demikian, Tuan Ibrahim dan Sanusi awal-awal lagi menolak dan meminta tanggungjawab itu diserahkan kepada pemimpin PAS yang lain.
Haji Hadi turut menolak atas faktor kesihatannya yang tidak begitu mengizinkan.
Namun demikian, dalam perkembangan terakhir, terutama berikutan pergolakan yang terus berpanjangan dan Bersatu lebih cenderung hanya ketua parti patut dipilih untuk menerajui PN, Haji Hadi difahamkan akhirnya sedia mengalah.
Dengan itu, adalah difahamkan bahawa Haji Hadi telah dipersetujui oleh PAS untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengerusi PN.
Haji Hadi dikatakan sedia memikul tugas sebagai Pengerusi PN adalah semata-mata untuk memastikan kestabilan dan perpaduan gabungan itu terus berkekalan untuk menuju PRU akan datang.
Hakikatnya, ini adalah pengorbanan terbesar Haji Hadi kepada PN memandangkan beliau ketika ini berada dalam keadaan kesihatan yang tidak begitu membolehkan beraksi secergas seperti dahulu lagi.
Tetapi, tetapi demi untuk memastikan PN kekal stabil dan tiada lagi pihak yang bising-bising, itulah sebablah beliau tetap bersedia memikul amanah untuk menerajui PN bagi menggantikan Muhyiddin.
Selepas 22 Februari nanti, setelah Haji Hadi menerajui PN dan semua jawatan utama diisi dalam gabungan itu turut diisi dengan tokoh-tokoh yang bersemangat tinggi untuk mengambil alih kerajaan, PN dipercayai mampu kembali memberi harapan kepada rakyat negara ini. - ShahbudinHusin 18Februari2026.
No comments:
Post a Comment