Remaja 16 tahun mengaku bersalah cederakan bekas OCPD Dang Wangi semasa operasi pengosongan Kampung Sungai Baru
KUALA LUMPUR 2 Jan - Seorang remaja berdepan prosiding mahkamah selepas mengaku bersalah mencederakan bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi, Senior Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, ketika operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru tiga bulan lalu.
Majistret Nurfarahain Roslan menetapkan 4 Februari ini sebagai tarikh jatuh hukum bagi remaja lelaki berusia 16 tahun itu, sementara menunggu penyediaan laporan akhlak.
Remaja terbabit didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan bagi menakutkan Sulizmie Affendy ketika menjalankan kewajipannya sebagai pegawai pemerintah. Kesalahan itu dilakukan di Jalan Datuk Abdul Malik, Kampung Sungai Baru, antara jam 10.50 hingga 11.14 pagi pada 11 September, mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Selain itu, tertuduh berserta enam individu lain turut dihadapkan di Mahkamah Majistret berasingan atas pertuduhan menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang semasa menentang proses notis pengosongan, walaupun telah diarahkan bersurai, mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya.

No comments:
Post a Comment