
Maduro ditahan di sebuah penjara di Brooklyn, New York selepas dibawa keluar dari Caracas, Venezuela pada 3 Januari 2026. Foto DEA
NEW YORK, 5 Jan – Presiden Venezuela yang digulingkan, Nicolas Maduro, tiba di sebuah mahkamah di New York, hanya beberapa hari selepas beliau ditahan di Caracas dalam operasi ketenteraan strategik Amerika Syarikat (AS).
Maduro, 63, berdepan pertuduhan berkaitan pengedaran dadah bersama isterinya, Cilia Flores.
Pasangan itu dibawa keluar secara paksa dari Caracas dalam serangan AS pada Sabtu lalu, melibatkan pasukan komando yang digerakkan menggunakan helikopter, dengan sokongan jet pejuang serta aset tentera laut.

Pada pagi Isnin, Maduro diiringi anggota penguat kuasa bersenjata ke bangunan mahkamah di New York, selepas dibawa menggunakan helikopter dan kenderaan perisai.
Semalam, pemimpin sementara Venezuela, Delcy Rodriguez, menawarkan kerjasama dengan Presiden AS, Donald Trump.
Di Caracas, kira-kira 2,000 penyokong Maduro, termasuk individu bersenjata yang menunggang motosikal, berhimpun sambil melaungkan slogan dan mengibarkan bendera Venezuela.
Tentera Venezuela yang setia kepada Maduro mengumumkan pengiktirafan terhadap kepimpinan Rodriguez serta menggesa keadaan kembali tenang.
Setakat ini, tiada angka rasmi korban diumumkan, namun Menteri Pertahanan Venezuela, Vladimir Padrino Lopez berkata, sebahagian besar pasukan keselamatan Maduro terbunuh, termasuk anggota tentera dan orang awam.
Trump sebelum ini mendakwa AS kini menguasai negara Amerika Selatan itu.


No comments:
Post a Comment