WALAU ADA HAD 10 TAHUN JADI PM, PALING BAIK JIKA PERTUKARAN BERLAKU SETIAP LIMA TAHUN SEKALI
5 January 2026
Undang-undang untuk menghadkan seseorang hanya boleh memegang jawatan Perdana Menteri tidak lebih 10 tahun akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Ia berikutan kerajaan bersetuju untuk membentangkan rang undang-undang berkaitan perkara tersebut pada sidang Parlimen tahun ini.
Walaupun perkara itu merupakan antara janji asal PH ketika bergelar pembangkang, namun ia tetap memerlukan lebih tiga tahun kuasa berada dalam genggaman untuk ia menjadi kenyataan.
Tak mengapalah, yang penting janji tidak dilupakan.
Sementara diakui menghadkan tempoh memegang jawatan Perdana Menteri itu memang merupakan janji asal PH, tetapi adalah diyakini semua parti lain dan Ahli-Ahli Parlimen tiada masalah untuk bersetuju dengannya kerana ia adalah perkara yang baik dan memang sepatutnya disokong.
Ini kerana kuasa adalah “syaitan paling besar” dalam kehidupan manusia dan ia sering membuatkan seseorang itu lupa diri.
Oleh itu, meletakkan sempadan adalah langkah yang wajar.
Pun begitu, berdasarkan beberapa perkembangan mutakhir yang berlaku dalam negara, yang terbaik sekali ialah Perdana Menteri dan kerajaan perlu dihadkan kepada lima tahun saja.
Ertinya setiap kali ada pilihan raya umum harus ada pertukaran Perdana Menteri dan kerajaan.
Kadang-kadang 10 tahun adalah tempoh masa yang lama dan di sinilah pentingnya kuasa rakyat itu sentiasa aktif dan responsif terhadap apa yang berlaku serta berani untuk melakukan perubahan.
Contohnya, skandal 1MDB membabiitkan Najib Razak hanya terdedah dan beliau kini dipenjarakan setelah kerajaan BN dijatuhkan pada 2018.
Jika tidak ada pertukaran kerajaan, barangkali semuanya masih tersimpan dalam fail SPRM.
Muhyiddin Yassin juga didedahkan kes rasuahnya dan kini bakal dibicarakan pada Mac depan setelah beliau dan PN tidak lagi berkuasa.
Tempoh Muhyiddin memegang kuasa ialah 17 bulan.
Hal yang sama dengan Ismail Sabri Yaakob yang berkuasa selama 16 bulan turut didedahkan penemuan wang tunai dan jongkong emas beranggaran RM170 juta setelah kuasa tidak lagi dalam tangannya.
Cuma, Ismail Sabri agak bernasib baik, hanya wang tunai dan jongkong emas yang dikaitkan dengannya saja yang dirampas.
Setakat ini tiada sebarang pendakwaan dikenakan kepadanya dan tidak mustahil beliau akan bebas buat selama-lamanya.
Perdana Menteri semasa sekarang memang diakui gigih memerangi rasuah dan diharapkan beliau kekal bersih buat selama-lamanya.
Meski ada juga sosek-sosek itu dan ini diperkatakan dalam pentadbiran sekarang, semua itu boleh dikateforikan cuma “hearsay” atau dengar cakap saja setakat ini.
Namun demikian, ia tidak sepatutnya menghalang rakyat daripada sentiasa beriltizam untuk menukar Perdana Menteri dan kerajaan setiap lima tahun sekali apabila pilihan raya umum diadakan.
Sebagaimana disebut sebelum ini, tempoh 10 tahun untuk melihat keburukan dapat didedahkan adalah tempoh masa yang terlalu lama.
Lagi pun, jika kecurangan dan salah laku pemimpin boleh diperlihatkan lebih cepat iaitu setiap lima tahun, kenapa perlu tunggu 10 tahun? – ShahbudinHusin 05Disember2026.
https://shahbudindotcom.net/2026/01/walau-ada-had-10-tahun-jadi-pm-lagi-baik-jika-pertukaran-setiap-lima-tahun/
No comments:
Post a Comment