LAWATAN PERNIAGAAN DAN PENGUKUHAN PERSAHABATN









 Dalam sidang media bersama wartawan Malaysia, saya tegaskan bahawa lawatan kerja ke China kali ini tidak sekadar memperkukuh persahabatan erat Malaysia–China, sebaliknya turut memperteguh kedudukan negara di pentas serantau dan antarabangsa.


Saya amat menghargai hubungan peribadi yang terjalin bersama Presiden Xi Jinping dan Premier Li Qiang, yang semakin mekar melalui pertemuan di Tianjin dan Beijing. Persahabatan kami bertunjangkan keikhlasan, membuka ruang luas bagi kerjasama strategik yang akan membawa manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara.


Di Tianjin, saya diberi penghormatan menyampaikan syarahan serta bertemu pemimpin dunia untuk membincangkan perdamaian di Myanmar, kerjasama dua hala, dan derita yang terus menimpa Gaza. 


Di Beijing pula, saya bersama Presiden Xi serta pimpinan dunia menghadiri sambutan ulang tahun ke-80 penamatan Perang Dunia Kedua, satu simbolik penentangan terhadap penindasan dan penjajahan, tatkala dunia dibelenggu sikap hipokrit kuasa-kuasa besar yang membiar dan mengabsahkan kezaliman terhadap rakyat Palestin. 


Dalam perbincangan yang lebih mendalam bersama Presiden Xi dan Premier Li semalam, kami meneroka ruang memperluas kerjasama baharu antara dalam pembangunan infrastruktur, pelabuhan, pendidikan, teknologi serta kecerdasan buatan.


Mesyuarat perniagaan yang diadakan di Tianjin dan Beijing pula membuahkan hasil memberangsangkan, dengan potensi pelaburan bernilai RM905 juta dalam sektor kimia dan telekomunikasi, mencerminkan keyakinan syarikat gergasi China terhadap Malaysia yang semakin utuh.


Ini termasuk komitmen JD.com kepada potensi pembelian produk Malaysia bernilai RM180 juta, manakala pertemuan dengan China Semiconductor Industry Association membuka prospek eksport bernilai RM2.2 bilion dalam tempoh 1–2 tahun, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri semikonduktor.


Lawatan ini juga telah menampilkan Malaysia di pentas dunia, membawa suara keadilan, menolak penindasan dan memperjuangkan kemanusiaan sejagat.


Penghargaan tertinggi daripada saya dan seluruh delegasi Malaysia atas layanan mesra serta penghormatan luar biasa daripada Kerajaan China yang menghulurkan persahabatan dengan penuh hormat dan keikhlasan.


谢谢,有缘千里再相会。


🇲🇾🫶🇨🇳


=====



No comments: